Khamis, 1 Oktober 2020 | 11:35pm
Bekas Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar. - NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Bekas Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar. - NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI

PRU-15 wajar ditangguhkan sekurang-kurang 6 bulan lagi - Wan Ahmad

KUALA LUMPUR: Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) wajar ditangguhkan sekurang-kurang untuk tempoh enam bulan lagi dengan mengambil kira situasi pandemik COVID-19, selain pertimbangan terhadap kesiapsiagaan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Bekas Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar, berkata justeru beliau mengalu-alukan cadangan PRU-15 ditangguhkan dalam waktu terdekat, kerana ia mempunyai asas kukuh berkait dengan keselamatan dan kesihatan orang ramai.

Tambahan pula, beliau berkata, Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah baru selesai dan jelas memberi impak negatif dari segi penularan kes COVID-19.

"Jangan ambil remeh isu keselamatan dan kesihatan ini. Jelas sekali ketika berkempen, ramai yang lupa akan pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

"Kesannya, ramai yang pulang daripada pilihan raya itu kini disahkan positif," katanya kepada BH.

Sebelum ini, Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh, dilaporkan berharap PRU-15 tidak diadakan dalam waktu terdekat berikutan peningkatan kes COVID-19 di Malaysia.

Beliau dipetik sebagai berkata, penularan wabak itu adalah di luar kawalan SPR walaupun pelbagai SOP diperkenalkan untuk mengekang virus berkenaan.

"Masalah utama yang saya lihat adalah penjarakan fizikal. Sama ada secara sengaja atau sebaliknya, penjarakan fizikal sukar diamalkan. Ini adalah isu utama berbanding pemakaian pelitup muka," kata Abdul Ghani.

Mengulas lanjut, Wan Ahmad berkata, tempoh enam bulan itu adalah memadai tetapi masih perlu mengambil kira situasi semasa pandemik berkenaan.

Beliau berkata, SPR lazimnya bersedia dan tiada masalah untuk melaksanakan PRU, namun situasi sekarang tidak sesuai.

"PRU bukan seperti PRN. Ia membabitkan seluruh negara dengan 400,000 petugas, justeru bukan mudah hendak dilaksanakan dalam situasi COVID-19 kini," katanya.

Selain itu, beliau berkata, mengadakan PRU pada hujung tahun bukan suatu keputusan yang tepat.

"Ini kerana pada akhir tahun, negara berdepan musim tengkujuh di mana ada kemungkinan negeri banjir dan kemudahan untuk tempat mengundi tidak bersedia kerana digunakan untuk perlindungan mangsa banjir.

"Petugas pilihan raya biasanya meliputi guru dan kakitangan sekolah yang juga terbabit cuti sekolah pada hujung tahun," katanya.

Beliau memaklumkan, biasanya pertimbangan SPR untuk mengadakan PRU ialah selepas Mac.

Katanya, ini kerana cuaca dalam tempoh antara April hingga Ogos lazimnya lebih baik, manakala petugas dalam kalangan guru pula ada banyak masa untuk membuat persediaan dan telah menjalani beberapa latihan mengendalikan pilihan raya.

Wan Ahmad turut memaklumkan, pada Jun tahun depan, cukup tempoh mandat tiga tahun penggal Parlimen ke-14.

Beliau berkata, ia bermakna selepas tempoh itu, tiada lagi Pilihan Raya Kecil (PKR) jika berlaku kekosongan kerusi disebabkan kematian atau penyandang hilang kelayakan.

"Justeru, lebih baik PRU diadakan selepas Mei kerana penggal Parlimen pun sudah matang," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X