Rabu, 30 September 2020 | 7:22pm
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun (dua dari kiri) dan Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC), Tan Sri Abu Kassim Mohamed menunjukkan buku pelan Antirasuah Negeri Sembilan 2020-2024 pada majlis pelancaran di Seremban, Negeri Sembilan. - Foto MOHD AMIN JALIL
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun (dua dari kiri) dan Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC), Tan Sri Abu Kassim Mohamed menunjukkan buku pelan Antirasuah Negeri Sembilan 2020-2024 pada majlis pelancaran di Seremban, Negeri Sembilan. - Foto MOHD AMIN JALIL

RUU ombudsman dijangka dibentang di Parlimen sebelum akhir tahun

SEREMBAN: Rang Undang-Undang (RUU) baharu berkaitan penubuhan ombudsman di Malaysia, antara inisiatif utama di bawah Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023, dijangka dibentangkan di Parlimen sebelum akhir tahun ini.

Ombudsman adalah pegawai yang dilantik untuk menerima dan menyiasat aduan berkaitan salah guna kuasa oleh eksekutif serta pentadbirannya yang diwujudkan bagi mencapai keadilan dalam pentadbiran.

Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC), Tan Sri Abu Kassim Mohamed, berkata draf RUU itu kini di Jabatan Peguam Negara untuk dimuktamadkan dan dijangka dibentangkan di Parlimen, sama ada November atau Disember ini.

"Saya tidak dapat memberikan butiran secara terperinci, tetapi secara prinsipnya, kerajaan Persekutuan bersetuju untuk menubuhkan ombudsman berdasarkan Pelan Antirasuah Nasional 2019-2023.

"Bagaimanapun, ombudsman ini akan fokus kepada kerajaan Persekutuan dan agensi yang berkaitan. Itu sebabnya saya syorkan sepenuhnya agar di peringkat negeri, mereka mempunyai ombudsman sendiri yang fokus kepada pihak berkuasa tempatan (PBT)," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan perasmian Pelan Anti-Rasuah Negeri Sembilan (ANTS) 2020-2024 yang disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, di sini hari ini.

Abu Kassim, berkata ombudsman di peringkat PBT penting kerana boleh berperanan menerima dan menyiasat aduan orang ramai yang tidak berpuas hati dengan sebarang perkara berkaitan perkhidmatan dan jentera kerajaan.

Sambil berharap Negeri Sembilan menjadi negeri pertama menyahut saranan berkenaan di peringkat PBT, beliau berkata, pihaknya tiada masalah untuk membantu kerana ombudsman penting untuk meningkatkan integriti di peringkat kerajaan tempatan.

"Tambahan pula, aduan mengenai ketelusan yang sering dipersoalkan banyak diterima membabitkan peringkat kerajaan tempatan. Ada ahli perniagaan yang berurusan dengan PBT membuat aduan mengenai soal ketelusan ketika berurusan," katanya.

Sementara itu, Abu Kassim berkata, GIACC berharap dengan adanya ANTS 2020-2024, ia dapat menjadi contoh dan mencapai kejayaan dalam usaha dan program meningkatkan integriti di peringkat negeri.

"Masalah kita ialah keberkesanan pelaksanaan dan bukan kecepatan membuat pelan. Malaysia adalah negara terbaik di dunia merangka pelan, tetapi isu paling utama dan paling penting adalah pelaksanaan dan pemantauan," katanya.

Sementara itu, Aminuddin berkata, ANTS 2020-2024 adalah hasil tindakan susulan Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023.

Katanya, semua pentadbiran kerajaan negeri serta kementerian perlu membangunkan pelan antirasuah yang boleh diaplikasikan di organisasi masing-masing secara menyeluruh.

"Untuk makluman, Negeri Sembilan adalah negeri kedua membangunkan pelan antirasuah peringkat negeri selepas Sabah yang melancarkan pelan mereka pada tahun lalu.

"Pelaksanaan Pelan Antirasuah Negeri Sembilan bagi tempoh lima tahun akan datang ini amat signifikan dalam mencerminkan harapan rakyat untuk membentuk sebuah negeri bebas rasuah dengan warganya membudayakan ketelusan, akauntabiliti dan integriti," katanya.

Katanya, ANTS mempunyai lima bidang keutamaan terdiri daripada tadbir urus politik, sektor pentadbiran awam, perolehan awam, perundangan dan kehakiman serta penguatkuasaan.

"Di bawah lima bidang keutamaan ini, lima strategi digariskan dengan 97 inisiatif untuk dilaksanakan semua jabatan dan agensi di bawah pentadbiran kerajaan Negeri Sembilan," katanya.

Beliau berkata, pelan itu akan menjadi sumber rujukan yang signifikan dan komprehensif dalam menangani isu tadbir urus, integriti dan rasuah.

Berita Harian X