Rabu, 30 September 2020 | 6:23pm
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. - Foto BERNAMA
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. - Foto BERNAMA

COVID-19: Semua negeri kini Zon Kuning

Kuala Lumpur: Semua negeri kembali merekodkan kes baharu hari ini dan semalam, sekali gus tiada lagi negeri dalam senarai Zon Hijau berdasarkan klasifikasi kawasan COVID-19.

Berdasarkan infografik dikongsi Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, setiap negeri mencatatkan kes COVID-19 hari ini kecuali Melaka dan Putrajaya, yang masing-masing kali terakhir merekodkan satu kes positif semalam.

Berdasarkan klasifikasi, Zon Kuning merujuk kawasan yang mempunyai satu hingga 20 kes positif, manakala Zon Hijau adalah kawasan yang tiada kes positif.

Dr Noor Hisham berkata, 89 kes positif baharu COVID-19 dicatatkan semalam dengan dua lagi kematian direkodkan.

Beliau berkata, kebanyakan kes baharu direkodkan membabitkan individu yang baru pulang dari Sabah, menjadikan jumlah kumulatif kes COVID-19 di negara ini sebanyak 11,224 kes dengan jumlah 1,124 kes aktif.

"Di Sabah sebanyak 35 kes baharu dikesan iaitu 18 daripada saringan bergejala, sembilan daripada Kluster Bangau-Bangau, tiga daripada saringan kontak rapat, empat Kluster Benteng di Lahad Datu dan satu kes saringan kematian di Hospital Tawau.

"Bagi lain-lain negeri, 13 kes dikesan di Kedah termasuk tiga daripada kluster baharu iaitu Kluster Tembok yang turut merekodkan satu kematian, diikuti Selangor (10), lapan di Johor, empat di Sarawak, masing-masing tiga kes di Kuala Lumpur dan Terengganu, diikuti masing-masing dua kes di Pahang dan Perlis dan Kelantan, serta satu kes masing-masing di Negeri Sembilan, Perak, Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan Labuan," katanya.

Gambar hiasan. - Foto NSTP
Gambar hiasan. - Foto NSTP

Mengenai kematian, katanya kes ke-11,207 membabitkan lelaki tempatan berusia 46 tahun yang mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, jantung dan buah pinggang.

Katanya, kes itu mula mengalami gejala sejak 21 September lalu dan pada 28 September mengalami sesak nafas serta dibawa ke Jabatan Kecemasan Hospital Sultanah Bahiyah di Kedah.

"Keadaan kes didapati merosot dan disahkan meninggal dunia jam 6.15 petang hari sama. Hasil saringan COVID-19 didapati positif.

"Bagi kes kematian ke-136 (iaitu kes ke 11,185) ia membabitkan lelaki tempatan berusia 70 tahun yang mempunyai latar belakang penyakit barah peringkat akhir.

"Kes meninggal dunia di rumah pada 26 September lalu dan dibawa ke Unit Forensik Hospital Tawau, Sabah. Hasil saringan COVID-19 didapati positif pada 29 September lalu," katanya.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan 28 kes sembuh semalam dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif 9,967 kes sembuh bersamaan 88.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.


  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X