Selasa, 29 September 2020 | 6:22pm
Presiden STAR, Datuk Dr Jeffrey Kitingan meletak jawatan sebagai Timbalan Menteri, susulan pelantikan sebagai Timbalan Ketua Menteri Sabah dan Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah hari ini.
Presiden STAR, Datuk Dr Jeffrey Kitingan meletak jawatan sebagai Timbalan Menteri, susulan pelantikan sebagai Timbalan Ketua Menteri Sabah dan Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah hari ini.

Jeffrey Kitingan letak jawatan Timbalan Menteri

KOTA KINABALU: Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Dr Jeffrey Kitingan, hari ini meletakkan jawatan sebagai Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya.

Ia berikutan pelantikan beliau sebagai Timbalan Ketua Menteri Sabah dan Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah bersama dua lagi Timbalan Ketua Menteri dan dua menteri kanan dalam Kabinet baharu kerajaan negeri.

Jeffrey ketika mengesahkan peletakan jawatan itu, berkata beliau sudah menghantar surat meletak jawatan sebagai timbalan menteri yang dikirimkan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, hari ini.

"Ya, saya sudah meletak jawatan," katanya ketika ditanya mengenai kedudukan jawatannya dalam Kabinet persekutuan selepas dilantik menganggotai Kabinet negeri.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tambunan itu adalah antara enam pemimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang mengangkat sumpah jawatan masing-masing dalam Kabinet negeri di hadapan Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin, hari ini.

Yang lain ialah Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Naib Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Dr Joachim Gunsalam, kedua-duanya juga Timbalan Ketua Menteri.

Dua lagi ialah Timbalan Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah, Datuk Masidi Manjun dan Setiausaha Agung PBS, Datuk Jahid Jahim, masing dilantik sebagai Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan dan Menteri Pembangunan Luar Bandar.

Mendahului mereka mengangkat sumpah di Istana Negeri ialah Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sabah, Datuk Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri Sabah Ke-16.

Jeffrey yang juga Ahli Parlimen Keningau adalah satu-satunya calon mewakili PN, yang mempunyai jawatan dalam Kabinet Persekutuan, bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN), Sabtu lalu.



Berita Harian X