Selasa, 29 September 2020 | 5:28pm
Ketua Menteri Sabah yang baharu, Datuk Hajiji Noor ketika mengadakan sidang media di Pejabat Ketua Menteri di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) hari ini. - Foto BERNAMA
Ketua Menteri Sabah yang baharu, Datuk Hajiji Noor ketika mengadakan sidang media di Pejabat Ketua Menteri di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) hari ini. - Foto BERNAMA

GRS bincang ketiadaan wakil kaum Cina

KOTA KINABALU: Ketiadaan wakil masyarakat Cina dalam Kabinet baharu negeri akan dibincangkan dalam kalangan pemimpin Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS).

Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor, berkata, isu itu adalah antara pertimbangan yang akan diambil kira dalam pelantikan lima lagi jawatan menteri, selain jawatan pembantu menteri bagi melengkapkan barisan Kabinet negeri.

"Kita akan melihat perkara itu sebab kita ada lagi lima menteri lain yang akan mengangkat sumpah.

"Itu kita akan bincang dengan rakan dalam PN, BN dan PBS. Kita buat yang terbaik untuk mentadbir negeri Sabah ini," katanya pada sidang media selepas melapor diri di Pejabat Ketua Menteri di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS), di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah ketiga-tiga Timbalan Ketua Menteri yang mengangkat sumpah bersama Ketua Menteri di Istana Negeri pagi tadi, iaitu Datuk Seri Bung Moktar Radin, Datuk Dr Jeffrey Kitingan dan Datuk Dr Joachim Gunsalam.

Hajiji berkata demikian ketika ditanya sama ada kerajaan pimpinannya akan mewujudkan semula Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dilantik untuk membolehkan masyarakat Cina dan minoriti dibawa masuk dalam Kabinet beliau.

Berdasarkan kebiasaan, Sabah memiliki tiga Timbalan Ketua Menteri, masing-masing mewakili Bumiputera Islam, Bumiputera Bukan Islam dan Cina.

Bagaimanapun, kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang merangkumi kerjasama PN, BN dan PBS tidak memiliki ADUN mewakili masyarakat Cina selepas semua calonnya kalah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu lalu.

Pada PRN itu, GRS meletakkan calon BN daripada MCA, calon PN daripada Parti Maju Sabah (SAPP) dan calon Cina daripada PBS di kerusi majoriti Cina, namun semuanya kalah di tangan Parti Warisan Sabah (WARISAN) dan rakan sekutunya.

Antara kerusi majoriti Cina itu ialah Api-Api yang ditandingi calon PBS, Datuk Dr Yee Moh Chai; calon MCA, Lu Yen Tung (Kapayan) dan Dr Chang Kee Ying (Likas) selain calon SAPP di Luyang dan Tanjung Papat.

Semua kerusi DUN majoriti kaum Cina disapu bersih WARISAN Plus dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Keadaan sama turut berlaku ketika kerajaan BN pimpinan bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman membentuk kerajaan dengan kerjasama Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) selepas Pilihan Raya Umum (PRU) 2018, sebelum diambil alih WARISAN.



Berita Harian X