Isnin, 28 September 2020 | 6:18pm
Datuk Hajiji Noor (kiri) dan Datuk Seri Dr Maximus Ongkili. - Foto NSTP
Datuk Hajiji Noor (kiri) dan Datuk Seri Dr Maximus Ongkili. - Foto NSTP

PRN Sabah: PBS terima Hajiji sebagai pilihan tepat

KOTA KINABALU: Pemilihan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sabah, Datuk Hajiji Noor, sebagai Ketua Menteri Sabah ke-16 adalah langkah paling tepat.

Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, berkata keputusan itu selari dengan cadangan dan pendirian PBS ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16.

Beliau berkata, ia berbeza dengan parti lain yang membuat keputusan mengenai perkara itu berdasarkan keputusan PRN, Sabtu lalu.

"Kita (PBS) yakin, dengan sokongan ahli Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Hajiji dapat melaksanakan tugasnya dengan baik berdasarkan pengalaman meluas dalam Kabinet negeri dan wakil rakyat selama tujuh penggal.

"PBS juga percaya Hajiji dapat menunaikan mandat yang diberi oleh rakyat dan memimpin Sabah serta pentadbiran negeri sebagai Ketua Menteri kepada semua rakyat Sabah," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Hajiji menerima watikah pelantikan sebagai Ketua Menteri Sabah yang baharu daripada Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin. - Ihsan Jabatan Penerangan
Hajiji menerima watikah pelantikan sebagai Ketua Menteri Sabah yang baharu daripada Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin. - Ihsan Jabatan Penerangan

Maximus yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), berkata PBS akan bekerjasama rapat dengan Hajiji dan memberi sepenuh sokongan kepada beliau untuk membentuk kerajaan baharu Sabah.

"Menerusi pembentukan kerajaan di bawah GRS, kita dapat mencipta pencapaian dan rekod baharu yang boleh dibanggakan," katanya.

Pada sidang media tengah hari tadi, Hajiji yang juga Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah, mengumumkan mendapat sokongan sebulat suara wakil rakyat GRS untuk memegang jawatan berkenaan.



Berita Harian X