Isnin, 28 September 2020 | 10:44am
Polis memantau dan mengawal di pintu masuk Istana Negeri. - NSTP/Yun Makail
Polis memantau dan mengawal di pintu masuk Istana Negeri. - NSTP/Yun Makail

PRN Sabah: Ketua Menteri angkat sumpah esok - Istana

KOTA KINABALU: Majlis Angkat Sumpah Ketua Menteri Sabah dijadual berlangsung di Istana Negeri jam 10.30 pagi, esok.

Perkara itu dimaklumkan oleh pihak Istana menerusi Bahagian Media dan Komunikasi Korporat, Jabatan Penerangan Negeri Sabah dalam satu kenyataan, hari ini.

Setakat jam 10 pagi ini, wakil media masih menunggu di depan pintu utama Istana Negeri bagi memantau perkembangan semasa.

Tinjauan sejak jam 8 pagi mendapati tiada pergerakan masuk kenderaan yang membawa rombongan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, kelmarin.

Pintu utama Istana Negeri turut dikawal ketat pasukan keselamatan sejak jam 8 malam kelmarin.

Selepas Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berjaya memperoleh majoriti membentuk kerajaan negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kelmarin, belum ada tanda jelas siapa yang akan dilantik sebagai Ketua Menteri yang baharu.

Selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan GRS yang menggabungkan Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) memperoleh majoriti mudah sekitar jam 11.40 malam kelmarin, perhatian banyak pihak bertumpu kepada calon nombor satu pentadbiran negeri itu, semalam.

Sehingga semalam, dua nama disebut-sebut dicalonkan ke jawatan berkenaan iaitu Ketua Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah, Hajiji Noor dan Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Sebelum ini, Perdana Menteri yang juga Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin, membayangkan Hajiji akan dilantik ke jawatan itu jika GRS memenangi PRN Sabah manakala Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, pula menegaskan calon itu adalah dari UMNO.

GRS mengumumkan berjaya membentuk kerajaan negeri selepas memenangi 38 kerusi, malam kelmarin.

Ini selepas rakan sekutu GRS iaitu PN memenangi 17 kerusi, BN 14 kerusi dan PBS tujuh kerusi.

br>

Berita Harian X