Ahad, 27 September 2020 | 7:28pm
Gambar fail pada Februari lalu, Ahli Parlimen PKR menaiki bas KL Hop-on Hop-Off di luar pekarangan pintu Istana Negara 2 untuk bertemu dengan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, Kuala Lumpur. - NSTP/Aizuddin Saad
Gambar fail pada Februari lalu, Ahli Parlimen PKR menaiki bas KL Hop-on Hop-Off di luar pekarangan pintu Istana Negara 2 untuk bertemu dengan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, Kuala Lumpur. - NSTP/Aizuddin Saad

Ahli Parlimen PKR sokong Anwar tubuh kerajaan baharu

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim mendapat sokongan daripada Ahli Parlimen PKR susulan Ketua Pembangkang itu mendakwa memiliki majoriti yang 'kukuh dan meyakinkan' untuk membentuk kerajaan baharu.

Ketua Whip PKR, Datuk Johari Abdul, berkata sokongan Ahli Parlimen parti itu dicapai dalam perbincangan sesama mereka mengenai kedudukan terkini kerajaan Persekutuan berikutan pengumuman Presiden PKR itu, Rabu lalu.

"Kami memanjatkan doa moga Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah diberikan kesembuhan yang segera dan dikurniakan kesihatan yang baik.

"Ahli Parlimen PKR memberi sokongan penuh kepada langkah yang diambil (Anwar) untuk mengembalikan mandat rakyat pada 9 Mei 2018 dengan memberi tumpuan ke arah memacu pertumbuhan ekonomi dan mengurangkan jurang miskin dan kaya.

"Sebarang sokongan daripada Ahli Parlimen harus datang daripada keinginan mahu menyelamatkan negara daripada krisis kesihatan dan ekonomi susulan COVID-19 yang memerlukan sebuah kerajaan yang stabil, dinamik dan kuat," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Rabu lalu, Anwar mendakwa beliau mempunyai majoriti yang kukuh dan meyakinkan, iaitu hampir dua pertiga kerusi Parlimen bagi membentuk kerajaan.

Dakwa beliau, sokongan Ahli Parlimen itu daripada pelbagai parti termasuk yang berpihak kerajaan sedia ada, namun enggan mendedahkan jumlah Ahli Parlimen yang menyokongnya.

Namun, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mempersoalkan kenyataan Anwar sambil mendakwa Ahli Parlimen Port Dickson itu gagal menyatakan jumlah Ahli Parlimen yang menyokongnya tanpa mengemukakan sebarang akuan bersumpah (SD).

Berita Harian X