Ahad, 27 September 2020 | 6:56pm
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. - FOTO BERNAMA
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. - FOTO BERNAMA

COVID-19: 150 kes baharu, 1 lagi kematian

PUTRAJAYA: Penularan COVID-19 meningkat sebanyak 150 kes, hari ini, manakala satu lagi kematian dilaporkan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata jangkitan baharu itu meliputi 146 penularan tempatan dan empat kes import membabitkan tiga rakyat Malaysia serta seorang bukan warganegara.

Katanya, pertambahan itu menjadikan jumlah kumulatif jangkitan COVID-19 di negara ini 10,919 kes dengan 950 kes aktif.

Beliau berkata, kes kematian ke-134 membabitkan seorang perempuan warga Malaysia berumur 81 tahun, sekali gus menyaksikan jumlah kumulatif korban mencecah 1.23 peratus.

"Kes mula mengalami gejala demam serta batuk berkahak pada 14 September, dan dibawa ke Hospital Semporna, 17 September lalu.

"Saringan COVID-19 didapati positif pada 22 September dan kes dipindahkan ke Hospital Tawau, 26 September lalu.

"Keadaan kes didapati merosot dan dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) pada hari sama. Beliau disahkan meninggal dunia pada jam 12.52 tengah malam tadi," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Enam individu pula sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan empat memerlukan bantuan pernafasan.

Selain itu, 50 kes pulih dilaporkan, sekali gus menjadikan jumlah kumulatifnya 9,835 (90.1 peratus).


  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X