Ahad, 27 September 2020 | 2:48am

PRN Sabah: Politik Sabah masih tidak stabil - Mohd Shafie

KOTA KINABALU: Bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menyifatkan keadaan politik di negeri ini masih tidak stabil walaupun Pilihan Raya Negeri (PRN) sudah selesai, semalam.

Ditanya pemberita sama ada beliau masih berharap dapat membentuk kerajaan negeri walaupun Parti Warisan Sabah (WARISAN) diketuainya yang membentuk pakatan bersama DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH) menerusi gabungan WARISAN Plus tewas pada PRN, Mohd Shafie berkata, mereka akan terus melihat perkembangan politik di Sabah.

"Kita akan lihat keadaan, bagaimana perjalanan proses (pembentukan kerajaan negeri) yang ada, sama ada dari segi kedudukan, senario politik yang dapat kita lihat. Kita tahu keadaan politik di negara kita tidak begitu stabil, begitu juga keadaannya di Sabah," katanya pada sidang media, di sini awal pagi ini.

Mengenai keputusan PRN semalam, Presiden WARISAN itu berkata, walaupun parti diterajuinya bersama sekutu lain tewas, WARISAN menjadi parti tunggal yang menang kerusi paling banyak.

"Saya dapat nyatakan bahawa parti tunggal itu (menang paling banyak kerusi) adalah WARISAN. Kepercayaan yang diberikan rakyat kepada kita, kita akan teruskan.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada pengundi kerana memberikan sokongan yang begitu kuat kepada WARISAN Plus di mana kita memperolehi sebanyak 29 kerusi yang telah dimenangi.

"Penghargaan kepada semua rakyat yang telah menunaikan tanggungjawab mereka dan membolehkan wakil rakyat kita membawa suara rakyat di Sabah," katanya.



Presiden WARISAN, Mohd Shafie (tengah) pada sidang media di Likas, hari ini. - Foto NSTP/MALAI ROSMAH TUAH
Presiden WARISAN, Mohd Shafie (tengah) pada sidang media di Likas, hari ini. - Foto NSTP/MALAI ROSMAH TUAH
Berita Harian X