Sabtu, 26 September 2020 | 10:05pm
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah yang juga calon Barisan Nasional DUN Lamag, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin (depan dua, kanan) bersama barisan kepimpinan tertinggi UMNO ketika ditemui pada sidang media di Ibu Pejabat UMNO Pusat Sabah, Kota Kinabalu, hari ini. - Foto BERNAMA
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah yang juga calon Barisan Nasional DUN Lamag, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin (depan dua, kanan) bersama barisan kepimpinan tertinggi UMNO ketika ditemui pada sidang media di Ibu Pejabat UMNO Pusat Sabah, Kota Kinabalu, hari ini. - Foto BERNAMA

Sabah berubah, GRS bentuk kerajaan baharu

KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang menaungi Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS), membentuk kerajaan negeri selepas memperoleh majoriti mudah 38 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16.

Menurut keputusan tidak rasmi setakat jam 9.50 malam tadi, PN memenangi 17 kerusi manakala BN (13) dan PBS (lapan), sekali gus membolehkannya merampas kerajaan negeri daripada WARISAN Plus yang memperoleh 26 kerusi.

WARISAN Plus terdiri daripada Parti Warisan Sabah (WARISAN), Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH).

WARISAN memperoleh 19 kerusi, DAP (6) manakala PKR dan UPKO masing-masing satu kerusi.

Sementara itu, dua kerusi dimenangi calon Bebas, manakala Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) memperoleh satu kerusi menerusi Ketua Umumnya, Tan Sri Pandikar Amin Mulia di DUN Pintasan.

Suasana orang ramai beratur menunggu giliran untuk mengundi pada hari pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah di SK Sugud, Penampang.
Suasana orang ramai beratur menunggu giliran untuk mengundi pada hari pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah di SK Sugud, Penampang.

Sebanyak 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dipertandingkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini.

Untuk membentuk kerajaan negeri parti bertanding perlu memenangi sekurang-kurangnya 37 kerusi daripada 73 kerusi yang dipertandingkan.

Pada PRN kali ini, seramai 447 calon daripada 16 parti dan 56 calon Bebas bertanding.

PRN Sabah ke-16 diadakan berikutan pembubaran DUN Sabah pada 30 Julai lalu selepas Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin meluluskan permohonan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Sementara itu, seperti dijangka Pengerusi BN Sabah yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Bung Moktar Radin, selesa memenangi kerusi DUN Lamag yang pertama kali dipertandingkan dengan mendapat 3,035 undi.

Beliau menang dengan kelebihan 661 undi dalam persaingan lima penjuru menewaskan Ismail Ayub (WARISAN), Razman Magah (PCS), Sairin Abdul Rahman (PPRS) dan calon Bebas, Junny @ Keruak Abdullah.

Bung Moktar dalam sidang medianya di Bangunan UMNO Sabah di sini, malam tadi berkata, kemenangan itu adalah lambang kepercayaan rakyat Sabah yang ingin mengubah keadaan negeri itu.

"Tepat jam 9.23 malam ini, GRS sudah mendapat majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri.

"Sebagai Pengerusi BN Sabah, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih atas kepercayaan rakyat Sabah yang mahu mengubah pentadbiran negeri ini.

"GRS akan berbincang bagi menentukan hala tuju seterusnya dan memastikan kerajaan baharu ini telus serta terus membela nasib rakyat," katanya.

Ketua Pimpinan BERSATU Sabah, Datuk Hajiji Noor, mengekalkan kerusi DUN Sulaman yang disandang sejak 1990 selepas mendapat 5,919 undi, menewaskan anak saudaranya, Datuk Aliasgar @ Ali Ashgar Basri (WARISAN) dan Datuk Rekan Hussien (PCS) dengan majoriti 3,099 undi.

Seperti dijangka, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, mengekalkan kerusi DUN Senallang yang disandang sejak 1990, dengan mendapat 5,919 undi, menewaskan Norazman Utoh Nain (PN), Mad Jalie Lais (PCS), Mohammad Ramzan Abdul Wahab (USNO) dan D Pg Ahmad Datu Ali Alam (PPRS).



Berita Harian X