Sabtu, 26 September 2020 | 8:42am
Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz
Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz

Proses Menteri-Menteri Kewangan APEC, platform sokong ekonomi dalam usaha tangani pandemik

KUALA LUMPUR: Proses Menteri-Menteri Kewangan Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) adalah landasan sangat baik untuk berbincang dan bertukar pandangan mengenai pembangunan ekonomi dan kewangan Asia-Pasifik serta isu sosio-ekonomi nasional dan serantau, kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Menerusi kenyataan Kementerian Kewangan (MoF) yang dikeluarkan malam tadi, beliau juga berkata dalam situasi COVID-19 mengancam sistem kesihatan dan ekonomi di seluruh dunia, anggota APEC telah bertindak balas dengan mengambil pelbagai langkah untuk mengatasi impak pandemik itu

"Harapan saya pertemuan hari ini akan mengutarakan pelbagai cadangan dan buah fikiran untuk kita terus menyokong ekonomi masing-masing dalam menangani pandemik COVID-19," katanya pada Mesyuarat Menteri-Menteri Kewangan Maya APEC (AVFMM) di MoF, Putrajaya, semalam.

Beliau mempengerusikan mesyuarat berkenaan yang dihadiri oleh wakil kementerian kewangan, bank pusat dan pengawal selia kewangan daripada 21 anggota APEC serta organisasi antarabangsa.

Tema AVFMM yang dianjurkan oleh Malaysia–Mengoptimumkan Potensi Insan ke arah Masa Depan Perkongsian Kemakmuran: Keterubahan, Keutamaan, Kemajuan – menggambarkan betapa pentingnya falsafah kemakmuran bersama.

Kesemua anggota APEC telah bekerjasama sebagai satu gabungan dan akan meneruskan kerjasama ini dengan penuh keikhlasan, secara bersepadu serta komprehensif, berlandaskan prinsip tanggungjawab bersama.

Mesyuarat itu yang dianjurkan buat julung kalinya secara maya, menyediakan sebuah landasan untuk berkongsi dan bertukar idea mengenai intervensi fiskal dan kewangan bagi mengurangkan impak ekonomi berikutan pandemik COVID-19 selain membangunkan ekonomi lebih berdaya tahan.

Sejurus mesyuarat yang bermanfaat itu, barisan perwakilan tertinggi daripada AVFMM mengeluarkan Kenyataan Bersama Menteri-Menteri.

Menurut MoF, kenyataan bersama itu menggariskan bagaimana APEC secara keseluruhan menangani pandemik COVID-19 melalui langkah fiskal dan kewangan yang bertujuan untuk menyelamatkan nyawa dan mata pencarian masyarakat serta perniagaan di negara masing-masing.

APEC juga menyedari digitalisasi berperanan penting dalam memastikan integrasi dan keterangkuman kewangan, serta perlunya ada ketersediaan kewangan melalui pembiayaan dan insurans risiko bencana.

Tengku Zafrul berkata, Kenyataan Bersama Menteri-Menteri itu menyatakan semangat kerjasama serantau antara anggota APEC serta berharap kerjasama dan komitmen tetap berterusan antara semua anggota APEC kelak.

"Dalam hal ini, saya ingin mengalu-alukan New Zealand selaku Pengerusi seterusnya bagi Proses Menteri-Menteri Kewangan APEC 2021 yang akan datang. Sebagai tuan rumah tahun ini, Malaysia bersedia untuk menghulurkan bantuan dan sokongan kepada Proses Mesyuarat Menteri-Menteri Kewangan pada tahun hadapan," katanya.

Menurut MoF, sebelum mesyuarat AVFMM, Tengku Zafrul juga mempengerusikan Dialog Majlis Penasihat Perniagaan APEC (ABAC), dengan Laporan ABAC 2020 bertajuk Memacu Pemulihan dan Membentuk Semula Perkhidmatan Kewangan Pada Saat Pandemik telah dibentangkan kepada para menteri kewangan APEC.

AVFMM telah dihadiri oleh menteri kewangan APEC, wakil bank pusat, pengerusi Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan 2020, pengarah eksekutif APEC dan pegawai kanan kewangan anggota APEC.

Turut hadir ialah wakil Bank Pembangunan Asia, Bank Pembangunan Antara Amerika, Tabung Kewangan Antarabangsa, Kumpulan Bank Dunia, Organisasi Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi, ABAC, Unit Sokongan Dasar APEC dan Majlis Kerjasama Ekonomi Pasifik.

Sebanyak 30 peserta menghadiri mesyuarat ini secara dalam talian.

Kali terakhir Malaysia menjadi tuan rumah bagi Mesyuarat Menteri-Menteri Kewangan APEC adalah pada 1999. – BERNAMA

Berita Harian X