Khamis, 24 September 2020 | 10:32pm
Nur Aqilah Mohd Safwan sudah sedar dari koma dan turut mengenali ahli keluarga yang melawatnya. - Foto ihsan keluarga
Nur Aqilah Mohd Safwan sudah sedar dari koma dan turut mengenali ahli keluarga yang melawatnya. - Foto ihsan keluarga

Mangsa terakhir keracunan karbon monoksida sedar daripada koma

BUKIT MERTAJAM: Selepas seminggu menerima rawatan akhirnya mangsa terakhir keracunan karbon monoksida, Nor Aqilah Mohd Safwan, 21, dilaporkan sudah sedarkan diri daripada koma.

Difahamkan, alat bantuan pernafasan yang digunakan Nor Aqilah turut dicabut pasukan perubatan apabila pesakit berada dalam keadaan stabil.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad, berkata mangsa juga dikatakan mengenali ahli keluarga yang datang melawatnya.

"Alhamdulillah, polis menerima maklumat bahawa Nor Aqilah sudah sedar daripada koma dan dia mengangguk kepala tanda mengenali ahli keluarga yang datang melawatnya," katanya di sini, hari ini.

Dalam kejadian Rabu minggu lalu, keempat-empat mangsa, Sharifah Fariesha Syed Fathi; Ayuni Shazwanie Shabri serta dua beradik kembar Nor Adilah dan Nor Aqilah masing-masing berusia 21 tahun berhenti rehat hingga tertidur di tempat letak kereta stesen minyak di Sama Gagah sebelum meneruskan perjalanan pulang ke rumah masing-masing dekat Sungai Petani dan Gurun, Kedah.

Bagaimanapun, empat mangsa yang belajar di sebuah kolej kejururawatan dekat Batu Caves, Selangor ditemui tidak sedarkan diri oleh salah seorang bapa mangsa di dalam kereta yang dinaiki mereka akibat terhidu karbon monoksida.

Sharifah Fariesha ditemui maut di lokasi kejadian manakala Ayuni Shazwanie meninggal dunia dalam perjalanan menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya (HSJ).

Tidak lama kemudian, Nor Adilah dilaporkan meninggal dunia selepas menerima rawatan di Hospital Angkatan Tentera Lumut, Perak manakala, kembarnya pula, Nor Aqilah dibawa ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan di Kuala Lumpur.

Berita Harian X