Khamis, 24 September 2020 | 9:09pm

Aplikasi umrah I'tamarna kawal keselamatan jemaah

KUALA LUMPUR: Aplikasi umrah dibangunkan oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi adalah mekanisme bagi mengawal kemasukan jemaah berikutan pandemik COVID-19, tidak akan menjejaskan perniagaan bagi syarikat dan ejen pelancongan umrah di negara ini.

Pengerusi Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (PAPUH), Datuk Seri Razali Mohd Sham, berkata kemudahan itu membolehkan pemantauan bagi jemaah umrah yang mendaftar menunaikan ibadat itu susulan kerajaan Arab Saudi masih berdepan kes positif COVID-19.

"Melalui aplikasi ini, individu yang ingin menunaikan umrah, dikehendaki mendaftar kerana kemasukan ke Arab Saudi adalah mengikut kuota.

"Saya percaya fokus utama aplikasi ini adalah bagi memantau daripada sudut kesihatan dan keselamatan jemaah.

"Bahkan, Malaysia sendiri turut mencadangkan aplikasi yang bersesuaian untuk digunakan oleh Arab Saudi bagi melancarkan aktiviti umrah apabila ia dibuka kelak," katanya di sini, hari ini.

Arab Saudi dilaporkan melancarkan aplikasi umrah baharu, iaitu I'tamarna bertujuan memperkasakan standard kesihatan di sebalik pandemik COVID-19 dan memudahkan orang ramai merancang perjalanan mereka.

Ia juga menawarkan perkhidmatan tempahan untuk penginapan, pengangkutan dan rekreasi yang boleh digunakan jemaah sebelum mereka tiba di Makkah.

Razali berkata, aplikasi berkenaan adalah alternatif bagi jemaah yang ingin menguruskan sendiri urusan bagi melaksanakan ibadat umrah.

"Aplikasi ini tidak diwajibkan kepada semua jemaah, cuma mereka yang berminat menggunakan aplikasi ini perlu tahu dan bersedia kerana semua proses termasuk tempahan penerbangan, pengangkutan semasa melaksanakan ibadat dan penginapan perlu melalui syarikat dilantik Arab Saudi.

"Kami lihat ini juga mungkin jalan yang diambil untuk membantu syarikat umrah di Arab Saudi yang turut terjejas berikutan penggantungan sementara ibadat umrah disebabkan COVID-19," katanya.

Beliau juga berkata, setakat ini, operasi syarikat umrah di negara ini masih berjalan seperti biasa dan sedang menunggu perkembangan terkini mengenai prosedur operasi standard (SOP) yang akan diperkenalkan Arab Saudi bagi mengelakkan penularan jangkitan COVID-19.

Sementara itu, Konsul Jeneral Malaysia di Jeddah, Alauddin Mohd Nor, berkata pihaknya belum menerima maklumat tambahan berkaitan aplikasi berkenaan.

"Setakat ini pihak kami sendiri tidak jelas mengenai aplikasi berkenaan yang dibangunkan oleh Arab Saudi untuk jemaah umrah.

"Kami tidak ada maklumat mengenai kegunaan aplikasi itu," katanya.

Berita Harian X