Khamis, 24 September 2020 | 6:05pm
Menteri Luar, Datuk Seri Hishamuddin Hussein. - NSTP/Saddam Yusoff
Menteri Luar, Datuk Seri Hishamuddin Hussein. - NSTP/Saddam Yusoff

Dakwaan Anwar sekadar ulangan propaganda memalukan - Hishammuddin

KUALA LUMPUR: Kenyataan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang mendakwa memperoleh sokongan kukuh dan meyakinkan untuk mengambil alih tampuk kerajaan, disifatkan sebagai ulangan propaganda yang memalukan kerana dibangkitkan ketika negara sedang dilanda musibah.

Menteri Luar, Datuk Seri Hishamuddin Hussein, berkata Ahli Parlimen Port Dickson itu sepatutnya malu dengan kenyataan sedemikian kerana terdesak merangka rancangan menukar kerajaan ketika negara masih berperang dengan penularan COVID-19.

Beliau menempelak tindakan Anwar sebagai tidak sensitif terhadap kebimbangan rakyat dengan hanya mempedulikan kepentingan peribadinya yang mahu bergelar perdana menteri.

"Merujuk kenyataan Anwar Ibrahim semalam, kononnya beliau bakal membentuk kerajaan baharu. Ia bukan perkara baharu dan mengejutkan. Propaganda seumpama ini sudah dilakukan Anwar berkali-kali. Ia pernah dilakukan pada April 2008, September 2008, Februari 2020 dan terbaru adalam semalam, September 2020.

"Kalau betul sudah memperoleh sokongan hampir dua pertiga Dewan Rakyat, beritahulah kepada umum berapa orang Ahli Parlimen yang menyokong dan dedahkan siapa Ahli Parlimen UMNO yang berpaling tadah.

"Anwar sepatutnya malu di saat negara masih berperang dengan wabak COVID-19, beliau tergamak membuat perancangan menukar kerajaan. Sedikit pun tidak mengendahkan kebimbangan rakyat sebaliknya hanya memikirkan kepentingan peribadi yang mahu berkuasa sebagai perdana menteri," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagi pemimpin kerajaan yang bertekad berpaling tadah, Hishamuddin menggesa mereka supaya berundur.

Pendirian Hishamuddin teguh dan jelas apabila beliau menegaskan keputusan menyertai Kabinet berdasarkan prinsip dan sokongan penuh terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menerajui tampuk kepemimpinan negara.

"Sejak kemelut politik ini bermula, ramai rakan pemimpin luar negara menzahirkan kebimbangan terhadap situasi di negara ini terutama dalam konteks COVID-19.

"Kemelut ini memang tidak membantu mencerminkan imej sebenar negara di mata dunia apatah lagi di saat kerajaan sedang berusaha menjalinkan pelbagai bentuk kerjasama demi memerangi COVID-19 dan memulihkan ekonomi tempatan dengan rakan-rakan negara.

"Apa jua ketidaktentuan ini, semua anggota Jemaah Menteri dan Ahli Parlimen kerajaan mesti memberi sokongan padu kepada Perdana Menteri. Jangan kita menjadi anggota penting kerajaan, menikmati kelebihan yang diperoleh tetapi pada masa yang sama tidak menyokong kepimpinan. Kita harus tumpu usaha membina semula negara bukan sandiwara politik yang merugikan," katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Sembrong itu menggesa supaya pemimpin UMNO khususnya mengabaikan propaganda dicetuskan Anwar yang hanya mahu memesongkan perhatian menjelang hari mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, beberapa hari lagi.

Tegasnya, negara berdepan krisis lebih 20 tahun hanya kerana sosok bernama Anwar, sekali gus situasi itu cuma mengundang penat ekoran sandiwara dicetuskan bekas timbalan perdana menteri itu.

"Ia seolah-olah ingin mengelirukan dan menanam rasa bimbang rakyat terhadap kestabilan kerajaan Persekutuan. UMNO mesti berwaspada dengan taktik Anwar dan sedar bahaya menyokong Anwar kerana ia hanya membuka peluang kepada DAP untuk lebih berkuasa di negara ini seterusnya membawa mudarat kepada agama, bangsa dan negara yang kita perjuangkan selama ini.

"Apa jua yang diumumkan Anwar Ibrahim semalam, perkara paling penting untuk parti ialah fokus kepada usaha memenangi PRN Sabah. Jentera UMNO dan Barisan Nasional (BN) telah berpenat lelah dan berjuang selama berminggu berkempen demi memenangkan calon kita," katanya.

Berita Harian X