Rabu, 23 September 2020 | 10:18pm
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. - Foto Fathil Asri
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. - Foto Fathil Asri

Muhyiddin PM sah ikut Perlembagaan

KUALA TERENGGANU: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengulangi pendirian parti itu bahawa pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri ke-lapan masih sah mengikut Perlembagaan Persekutuan.

Beliau turut menegaskan, PAS memutuskan ketetapan untuk terus menyokong Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.

Katanya, 18 Ahli Parlimen PAS memberi sokongan sepenuhnya kepada Muhyiddin.

"Pas juga akan terus memperteguhkan setiakawan dalam Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN)," katanya melalui kenyataan hari ini.

Pendirian Pas untuk terus menyokong Muhyiddin itu dikeluarkan susulan dakwaan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa beliau mempunyai majoriti yang kukuh dan meyakinkan, iaitu hampir dua pertiga kerusi Parlimen bagi membentuk kerajaan.

Anwar mendakwa, sokongan Ahli Parlimen itu daripada pelbagai parti termasuk yang berpihak kerajaan sedia ada, namun enggan mendedahkan jumlah Ahli Parlimen yang menyokongnya.

Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang mengajak seluruh rakyat bersatu hati mendukung usaha dilakukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk menangani wabak COVID-19 dan memulihkan ekonomi secara bersama.

Anwar dalam satu sidang media khas hari ini, mendakwa beliau mempunyai majoriti yang kukuh dan meyakinkan, iaitu hampir dua pertiga kerusi Parlimen bagi membentuk kerajaan.

Presiden PKR itu mendakwa, sokongan Ahli Parlimen itu daripada pelbagai parti termasuk yang berpihak kerajaan sedia ada, namun enggan mendedahkan jumlah Ahli Parlimen yang menyokongnya.

Katanya, beliau sudah diperkenan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada jam 11 pagi semalam, namun ditangguhkan kerana baginda menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).

Berita Harian X