Rabu, 23 September 2020 | 5:38pm
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. - Foto Adzlan Sidek
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. - Foto Adzlan Sidek

Ada Ahli Parlimen UMNO, BN sokong Anwar - Zahid

KUALA LUMPUR: UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak dapat menghalang mana-mana Ahli Parlimen yang mahu menyokong Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata beliau dimaklumkan ramai Ahli Parlimen UMNO dan BN yang menyatakan sokongan terhadap Ahli Parlimen Port Dickson itu.

"Saya mengikuti sidang media oleh Anwar. Sebagaimana diketahui umum, UMNO dan BN bukan parti komponen Perikatan Nasional (PN). Sokongan kepada kerajaan PN adalah sokongan daripada Ahli Parlimen sahaja.

"UMNO dan BN tidak dapat menghalang Ahli-ahli Parlimen yang mengambil keputusan untuk menyokong Anwar yang berhasrat untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi menyatakan hasrat beliau.

"Saya menghormati pendirian Ahli Parlimen berkenaan," kata Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN dalam satu kenyataan hari ini.

Anwar dalam sidang media khas hari ini berkata, beliau yakin mempunyai majoriti hampir dua pertiga Ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan baharu.

Beliau berkata, sokongan yang dianggap kukuh dan meyakinkan itu akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong (YDPA) sebaik baginda keluar daripada Institut Jantung Negara (IJN).

"Sebenarnya saya mendapat perkenan mengadap baginda Selasa pada jam 11 pagi, namun terpaksa ditangguhkan selepas baginda menerima rawatan di IJN," kata Presiden PKR itu.

Berita Harian X