Selasa, 22 September 2020 | 11:11pm

Ubah tabiat, satu-satunya cara cegah COVID-19

KUALA LUMPUR: Selagi masyarakat masih mengamalkan tabiat dan gaya hidup yang tidak sihat, rakyat di negara ini akan terus terdedah dengan risiko penularan jangkitan COVID-19.

Ini dapat dilihat daripada peningkatan jumlah individu yang dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa berhubung ketidakpatuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan.

Penasihat Khas Kesihatan Awam kepada Perdana Menteri, Tan Sri Dr Jemilah Mahmood ketika mengulas perkara itu menegaskan, setiap individu perlu bertanggungjawab bagi mengelakkan penularan wabak berkenaan.

"Kita tahu bahawa COVID-19 lebih berisiko tinggi kalau seseorang itu ada penyakit kencing manis, darah tinggi dan asma.

"Bagi penyakit asma, cuma 20 peratus (pesakit) terdedah dengan penyakit itu disebabkan kekangan daripada aspek sistem kesihatan dan rawatan di hospital berbanding 80 peratus lagi dikenal pasti berpunca daripada tabiat dan persekitaran kita yang tercemar.

"Disebabkan itu kita perlu elak daripada tabiat tidak sihat dan mungkin boleh amalkan norma baharu dengan menggunakan pengangkutan awam bagi urusan harian bagi mengelakkan pencemaran daripada asap dikeluarkan kenderaan," katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian Kempen "Kawal Lelah Sebelum Parah" di sini, hari ini.

Turut hadir, Pakar Perunding Respiratori yang juga Pengasas Bersama Asthma Malaysia, Dr Helmy Haja Mydin.

Dr Jemilah berkata, rakyat Malaysia perlu lebih bertanggungjawab dengan memastikan bukan sahaja keluarga, tetapi masyarakat dan negara selamat daripada wabak berkenaan.

"Nasihat saya jangan cakap sahaja orang tidak mengikut SOP, tetapi tegurlah jika kita lihat ia berlaku (di tempat awam).

"Kita semua perlu bertanggungjawab sesama sendiri, misalnya tegur jika masih ada yang mengamalkan berjabat tangan," katanya.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan berkata, Sabah kini antara negeri yang berdepan peningkatan kes COVID-19 dengan beberapa kluster baharu yang aktif

Sementara itu, Dr Helmy berkata, kempen "Kawal Lelah Sebelum Parah" itu dilancarkan bersempena Hari Paru-Paru Sedunia 2020 dan situasi pandemik COVID-19 yang turut berisiko kepada penghidap asma.

"Di Malaysia, terdapat dua juta pesakit asma dan penyakit respiratori ini adalah punca kematian kedua tertinggi di hospital kerajaan.

"Malangnya, satu kajian tempatan 'Assessing Asthma Control Level in Primary Care' (ASCOPE) mendapati kurang daripada 50 peratus pesakit asma mempunyai kawalan yang baik terhadap penyakit itu.

"Kewujudan COVID-19 turut menambah kebimbangan dalam kalangan pesakit asma kerana bagi yang sukar mengawalnya, lebih berisiko tinggi untuk mendapat komplikasi daripada jangkitan virus berkenaan," katanya.

Beliau turut berkata, pesakit asma juga perlu sedar kebergantungan berlebihan kepada alat sedut pelega boleh menyebabkan risiko kematian.

"Pesakit yang menggunakan alat sedut pelega lebih daripada dua kali seminggu dianggap mempunyai kawalan asma yang kurang baik dan meningkatkan risiko asma yang teruk," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Penasihat Khas (Kesihatan Awam) kepada Perdana Menteri, Tan Sri Dr Jemilah Mahmood (dua dari kanan) bersama Presiden Astara Zeneca Malaysia, Dr Sanjeev Panchal (kiri) dan Pengasas bersama Asthma Malaysia, Drr Helmy Jaha Mydin melancarkan Kempen Penyakit Asthma "Kawal Lelah Sebelum Parah" di Kuala Lumpur. - NSTP/Aizuddin Saad
    Penasihat Khas (Kesihatan Awam) kepada Perdana Menteri, Tan Sri Dr Jemilah Mahmood (dua dari kanan) bersama Presiden Astara Zeneca Malaysia, Dr Sanjeev Panchal (kiri) dan Pengasas bersama Asthma Malaysia, Drr Helmy Jaha Mydin melancarkan Kempen Penyakit Asthma "Kawal Lelah Sebelum Parah" di Kuala Lumpur. - NSTP/Aizuddin Saad
    Berita Harian X