Selasa, 22 September 2020 | 10:41pm
Mansor (dua dari kanan) menyampaikan replika cek RM650,000 kepada Mohammad Shatar (dua dari kiri). - NSTP/FOTO IHSAN UPSI
Mansor (dua dari kanan) menyampaikan replika cek RM650,000 kepada Mohammad Shatar (dua dari kiri). - NSTP/FOTO IHSAN UPSI

KPT peruntukkan RM650,000 latih mahasiswa dalam keusahawanan sosial

TANJUNG MALIM: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) memperuntukkan dana RM650,000 bagi melatih seramai 600 mahasiswa di universiti awam, politeknik dan kolej komuniti dalam bidang keusahawanan sosial.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mansor Othman, berkata Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dilantik sebagai penyelaras utama program itu dengan dibantu 21 mentor dari institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Beliau berkata, kesan pandemik COVID-19 yang melanda negara, dianggarkan seramai 330,557 bakal graduan berdepan cabaran ketidaktentuan ekonomi dan peluang mendapatkan pekerjaan.

Justeru, katanya, program itu memberi makna cukup besar dalam usaha mengangkat agenda keusahawanan di IPT.

Beliau berkata, ia turut menzahirkan komitmen tinggi melahirkan lebih ramai usahawan dalam kalangan pelajar dan graduan yang mampu bersaing dalam pasaran lebih kompetitif.

"Saya percaya melalui pelaksanaan program ini, lebih ramai usahawan sosial akan dapat dilahirkan, seterusnya menyumbang kepada pencapaian Lonjakan 1, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) 2015-2025 untuk melahirkan graduan holistik, berciri keusahawanan dan seimbang," katanya.

Beliau demikian ketika berucap merasmikan Program Keusahawanan Peringkat Nasional 2020/2021 'University To Community' di Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI, hari ini.

Mansor berkata, program itu dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Suruhanjaya Koperasi Malaysia, serta Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC).

"KPT menerima sejumlah dana keusahawanan daripada Kementerian Kewangan untuk menampung pelaksanaan program keusahawanan di IPT. Tahun ini, kementerian menerima peruntukan berjumlah RM8 juta berbanding RM7.65 juta pada 2019," katanya.

Sementara itu, Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran, berkata Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan (EDGE) universiti terbabit bertanggungjawab sepenuhnya merancang perjalanan program berkenaan hingga tahun depan.

Berita Harian X