Selasa, 22 September 2020 | 5:52pm
Penangguhan Pilihan Raya Negeri (PRN) di Sabah adalah jalan terbaik untuk mengelakkan situasi COVID-19 bertambah buruk memandangkan jangkitan pandemik di negeri itu semakin membimbangkan. - Gambar hiasan/BERNAMA
Penangguhan Pilihan Raya Negeri (PRN) di Sabah adalah jalan terbaik untuk mengelakkan situasi COVID-19 bertambah buruk memandangkan jangkitan pandemik di negeri itu semakin membimbangkan. - Gambar hiasan/BERNAMA

Pertambahan kluster, pakar kesihatan saran PRN Sabah ditangguh

illahhafiz.abdulaziz

KUALA LUMPUR: Penangguhan Pilihan Raya Negeri (PRN) di Sabah adalah jalan terbaik untuk mengelakkan situasi COVID-19 bertambah buruk memandangkan jangkitan pandemik di negeri itu semakin membimbangkan.

Pakar kesihatan awam, Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh, berkata situasi di Sabah tidak ubah seperti 'bom jangka' yang akan meletus sekiranya pilihan raya itu diteruskan memandangkan negeri itu sudah dikesan mempunyai tujuh kluster dan jangkitan juga sudah melepasi generasi.

Beliau berkata, terdapat dua pilihan yang boleh dilakukan kerajaan ketika ini iaitu menangguhkan pilihan raya atau melakukan undian secara pos atau dalam talian untuk mengelakkan jangkitan COVID-19 semakin buruk.

"Tetapi bagi saya, jalan terbaik adalah orang awam tidak keluar rumah dan penangguhan PRN adalah salah cara yang perlu dipertimbangkan memandangkan wabak hari ini dikesan tidak mempunyai simptom.

"Kebimbangan utama saya adalah mereka yang dijangkiti tidak sakit atau mempunyai simptom... mereka inilah adalah pembawa. Apabila bercampur di pusat undi, bayangkan berapa ramai akan dijangkiti," katanya kepada BH, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Sharifa Ezat menjelaskan, kerajaan boleh mengadakan PRN namun perlu sedar tahap kekuatan untuk mengekang wabak ini daripada terus merebak.

"Jika pilihan raya secara tradisional dilakukan, adakah mampu untuk mengawal orang awam kerana dalam setiap dewan perlu memastikan tidak ramai orang ada, mungkin 10 sahaja termasuk pengundi dan kakitangan.

"Mungkin di dalam dewan atau pusat mengundi boleh dikawal tetapi sekiranya di luar dewan, orang datang bepusu-pusu bagaimana mahu memastikan mereka mengikuti kawalan itu. Aktiviti mengundi ini membabitkan orang awam di seluruh negeri, cukupkah tenaga kerja untuk mengawal semua mereka," katanya.

Tambahnya, isu-isu kecil juga harus dipandang secara serius dalam mengawal jangkitan ini contohnya seperti penggunaan pen untuk memangkah serta bas yang membawa orang mengundi.

"Setiap aktiviti keluar masuk di pusat undi perlu dikawal sepenuhnya, oleh itu masa juga akan bertambah. Jika sebelum ini pusat undi biasanya ditutup lewat petang, mungkin ia akan berlarutan sehingga lewat malam atau mungkin berhari-hari kerana kawalan itu perlu dilakukan dengan rapi," katanya.

Dr Sharifa Ezat juga meminta kerajaan memberi perhatian khusus terhadap mereka yang pulang mengundi dan datang dari daerah yang berisiko tinggi seperti Tawau, Lahad Datu dan Kota Kinabalu.

"Tiga daerah ini mencatat jumlah jangkitan paling tinggi di Sabah dan sekiranya adalah tinggal dan bekerja di kawasan berisiko ini, pulang ke kampung di daerah lain untuk mengundi, apa risiko yang akan berlaku khususnya apabila bertemu dengan golongan berusia dan berisiko. Ini semua perlu difikirkan dalam tempoh ini," katanya.

Beliau menjelaskan, isu lain yang perlu dititik beratkan kerajaan ketika ini adalah mengenai kemampuan kerajaan untuk menghadapi risiko jangkitan besar-besaran termasuk persediaan kakitangan kesihatan dan kakitangan awam lain di Sabah.



  • Lagi berita mengenai COVID-19


  • Berita Harian X