Selasa, 22 September 2020 | 12:30pm
Akta Racun 1952 dianggap lapuk, ketinggalan zaman. - Grafik hiasan
Akta Racun 1952 dianggap lapuk, ketinggalan zaman. - Grafik hiasan

Syor pinda akta, hukuman lebih berat

KUALA LUMPUR: Akta Racun 1952 yang masih berkuat kuasa ketika ini, disifatkan sudah lapuk dan ketinggalan zaman, untuk menangani isu penyalahgunaan preskripsi dan penjualan berleluasa ubat di bawah Kumpulan B.

Ketika ini, individu yang didapati membekal atau menjual ubat Kumpulan B tanpa preskripsi, boleh didakwa mengikut Seksyen 32(2) Akta Racun 1952, yang jika disabitkan kesalahan, boleh didenda hanya sehingga RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Susulan itu, Persatuan Farmasi Malaysia menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) menyegerakan pembentangan Rang Undang-Undang Racun (Pindaan 2019) bagi membolehkan hukuman lebih berat terhadap penyalahgunaan terbabit.

Presiden Persatuan Farmasi Malaysia, Amrahi Buang, berkata pindaan itu disifatkan penting dalam usaha mencegah masalah berkenaan.

Beliau berkata, Akta Racun 1952 perlu dipinda selaras peredaran masa, khususnya dalam berdepan era Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) dan Kecerdasan Buatan (AI).

"Akta ini digubal pada tahun 1952 dan ia bersifat lapuk serta ketinggalan zaman. Ketika ini pindaan amat diperlukan bagi mengatasi isu seperti preskripsi elektronik.

"Ia juga penting dalam menangani isu salah guna ubat Kumpulan B termasuk penjualannya menerusi platform dalam talian.

"Melalui pindaan ini, hukuman lebih berat boleh diperuntukkan bagi sebarang pelanggaran terhadap mana-mana peruntukan dalam Akta Racun 1952, termasuk isu preskripsi, " katanya ketika dihubungi BH, di sini.

Presiden Persatuan Farmasi Malaysia, Amrahi Buang. - Foto BH
Presiden Persatuan Farmasi Malaysia, Amrahi Buang. - Foto BH

Beliau berkata demikian sebagai mengulas isu ubat-ubatan yang memerlukan preskripsi doktor tetapi dijual secara berleluasa, bukan setakat di farmasi tetapi menerusi platform beli-belah dalam talian atau laman web serta kedai runcit.

Ubat-ubatan di bawah Kumpulan B, merujuk ubat tertentu yang hanya boleh dibeli dari farmasi dengan preskripsi dikeluarkan pengamal perubatan atau pergigian berdaftar atau pegawai veterinar yang menjual atau membekalnya mengikut Seksyen 19.

Amrahi berkata, KKM juga perlu menyegerakan pelaksanaan polisi mewajibkan doktor memberikan slip preskripsi kepada pesakit, apabila diminta kerana ia adalah hak mereka mendapatkan ubat sama ada dari klinik atau farmasi.

Beliau berkata, adanya peraturan itu, pesakit boleh membeli ubat terus di farmasi kerana kebiasaannya harga dikenakan adalah lebih rendah, sekali gus boleh mengurangkan risiko pembelian tanpa preskripsi.

KKM juga katanya, perlu bertindak tegas terhadap penyedia platform e-dagang yang mana ubat Kumpulan B ini diakui boleh diperoleh dengan mudah, sedangkan ia jelas melanggar Akta Racun 1952.

Katanya, ubat Kumpulan B yang dijual secara atas talian tanpa preskripsi adalah sangat berbahaya kerana kemungkinan besar ia adalah ubat palsu atau campur palsu, tidak berdaftar serta dibawa masuk secara haram.

"Justeru, pengendali platform e-dagang perlu dipertanggungjawabkan kerana ia membabitkan keselamatan pengguna," katanya.

Beliau berkata, farmasi dalam talian juga tidak boleh dibenarkan beroperasi, kecuali yang mempunyai farmasi fizikal berdaftar kerana ia adalah untuk mewujudkan akauntabiliti.

Katanya, masalah berkaitan preskripsi elektronik juga harus diberi tumpuan kerana kesahan tandatangan doktor secara elektronik adalah satu isu besar dalam bidang telekesihatan.

"Buat masa ini, Akta Tandatangan Digital 1997 diterima pakai, namun ia masih menyulitkan pada era dan perkembangan digital teknologi pesat, khususnya di era pandemik COVID-19 ini.

"Kami perhatikan, platform digital untuk doktor, juga ada kalanya tidak mematuhi Akta Racun 1952 yang diperuntukkan," katanya.

Orang ramai digesa lapor, salur maklumat

Bahagian Perkhidmatan Farmasi Kementerian Kesihatan (KKM) membuka lebih 70 kertas siasatan kes penjualan ubat tanpa preskripsi doktor di seluruh negara sejak 2018 sehingga kini.

Dalam tempoh sama juga, 68 kes membabitkan kesalahan berkenaan dibawa ke mahkamah untuk tindakan pendakwaan dan dikenakan denda berjumlah keseluruhan RM220,050.

Mengikut statistik Program Perkhidmatan Farmasi KKM, sebanyak 68 kes pendakwaan dan 76 kertas siasatan kes penjualan ubat tanpa preskripsi oleh farmasi di seluruh negara direkodkan sepanjang tempoh kira-kira dua tahun itu.

Berdasarkan pecahan kes, sebanyak 29 kertas siasatan dibuka dan 30 kes dikenakan tindakan pendakwaan sepanjang 2018 dengan denda keseluruhan RM60,700, manakala bagi tempoh 2019, sebanyak 39 kertas siasatan dibuka dan 24 kes pendakwaan dibuat dengan denda keseluruhan RM100,350.

Bagi tempoh tahun ini sehingga September, lapan kertas siasatan dibuka dan 14 kes dikenakan tindakan pendakwaan membabitkan denda keseluruhan RM59,000.

Ahad lalu, BH mendedahkan pelbagai jenis ubat-ubatan yang sepatutnya hanya boleh didapati dengan preskripsi doktor, dikesan bukan saja boleh dibeli dengan mudah di farmasi, malah melalui platform beli-belah dalam talian atau laman web.

Laporan pendedahan BH pada Ahad lalu.
Laporan pendedahan BH pada Ahad lalu.

Ia menimbulkan persoalan bagaimana ubat yang disenaraikan dalam Kumpulan B mengikut Akta Racun 1952 itu boleh dijual sewenang-wenangnya tanpa preskripsi doktor, sekali gus turut mendedahkan pengguna kepada risiko keselamatan kesihatan.

Tinjauan BH terhadap beberapa farmasi sekitar ibu negara, mendapati sebahagian premis terbabit menjual ubat kategori berkenaan tanpa banyak soal dan pengguna hanya perlu memaklumkan nama ubat sebelum membuat pembayaran.

Sehubungan itu, Bahagian Perkhidmatan Farmasi KKM mengingatkan pemilik farmasi agar mematuhi peraturan atau berdepan tindakan siasatan serta pendakwaan di mahkamah.

"Penjualan racun (ubat-ubatan) Kumpulan B untuk tujuan rawatan oleh ahli farmasi berlesen hanya boleh dibuat berdasarkan preskripsi daripada pengamal perubatan berdaftar, pengamal pergigian berdaftar atau doktor veterinar.

"Ia termaktub dalam peruntukan mengikut Seksyen 21 Akta Racun 1952. Contoh ubat Kumpulan B adalah ubat-ubatan untuk rawatan penyakit seperti darah tinggi dan penyakit jantung," kata bahagian berkenaan.

Katanya, KKM sentiasa menjalankan pemeriksaan ke atas premis berlesen bagi memastikan kepatuhan pemegang lesen terhadap undang-undang, merangkumi keperluan mengikut Akta Racun 1952, Akta Jualan Dadah 1952 dan Akta Ubat (Iklan dan Penjualan) 1956.

Dalam tempoh Januari lalu sehingga kini, bahagian itu memaklumkan, 2,798 pemeriksaan dibuat terhadap premis berlesen Jenis A (Farmasi), manakala sebanyak 4,091 pemeriksaan dibuat sepanjang 2019 dan 3,907 pemeriksaan pada 2018.

"Aduan yang diterima Program Perkhidmatan Farmasi KKM pula adalah sebanyak 35 pada tahun ini, 64 aduan pada 2019 dan 60 aduan pada 2018," kata bahagian itu sambil meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes sedemikian menyalurkannya kepada pihak berkuasa.

Maklumat lengkap boleh disalurkan terus kepada Bahagian Penguatkuasaan Farmasi negeri atau ibu pejabat melalui talian 03-78413200, selain menerusi portal Sistem Pengurusan Aduan Agensi Awam (SisPAA) di alamat http://moh.spab.gov.my.

Berita Harian X