Isnin, 21 September 2020 | 1:43pm
Ubat antibiotik yang hanya boleh dibeli dengan preskripsi doktor, dikesan dijual sewenang-wenangnya di sesetengah kedai runcit milik warga asing. - Foto BH
Ubat antibiotik yang hanya boleh dibeli dengan preskripsi doktor, dikesan dijual sewenang-wenangnya di sesetengah kedai runcit milik warga asing. - Foto BH

Ubat antibiotik dijual di kedai runcit

KUALA LUMPUR: Ubat antibiotik yang hanya boleh dibeli dengan preskripsi doktor, dikesan dijual sewenang-wenangnya di sesetengah kedai runcit milik warga asing.

Amat mengejutkan apabila ubat berkenaan yang disenaraikan dalam Kumpulan B mengikut Akta Racun 1952 boleh dibeli dengan mudah, sedangkan peraturan menetapkan pesakit perlu menjalani pemeriksaan doktor terlebih dulu bagi mengenal pasti punca jangkitan sebelum diberikan preskripsi.

Usaha wakil BH selama beberapa hari sehingga semalam di beberapa kedai runcit sekitar Kampung Pandan, Sentul dan Jalan Ipoh di ibu negara serta Puncak Alam di Selangor, mendapati kebanyakannya tidak mempamerkan ubat berkenaan di rak jualan, sebaliknya pembeli harus bertanya terus kepada juruwang di kaunter.

Ia dipercayai taktik bagi mengelakkan penjualan ubat-ubatan terbabit, yang dipercayai dibawa masuk secara haram dari negara jiran, dikesan oleh pihak berkuasa.

Di sebuah kedai di Kampung Pandan, wartawan BH bertanya kepada seorang pekerja wanita di premis berkenaan mengenai antibiotik jenis 'Amocixillin', tetapi ditunjukkan beberapa jenis lain kerana ubat yang diminta didakwa tiada dalam bekalan mereka.

"'Amocixilin' tiada, tetapi kalau antibiotik jenis lain, 'Ampicillin trihydrate' ada," katanya yang kelihatan seperti teragak-agak mahu mengeluarkan antibiotik yang dimaklumkan dengan dos 500 miligram (mg) berkenaan.

Tanpa bertanya apa-apa mengenai masalah kesihatan atau penyakit, wanita terbabit hanya menerangkan kegunaan 'Ampicillin trihydrate' adalah untuk rawatan bagi jangkitan dan diambil ketika perlu sahaja.

Pasar mini (kanan) yang menjual ubat antibiotik tanpa preskripsi doktor. - Foto BH
Pasar mini (kanan) yang menjual ubat antibiotik tanpa preskripsi doktor. - Foto BH

Antibiotik ‘Ampicillin’. - Foto BH
Antibiotik ‘Ampicillin’. - Foto BH

Bekalan yang diberikan adalah bagi tempoh lima hari, dijual pada harga RM6.90 dengan pengambilan sebanyak dua kali sehari.

Yang menimbulkan persoalan adalah keterangan pada antibiotik itu dalam bahasa Indonesia sepenuhnya seperti label 'Harus dengan resep (preskripsi) dokter', sekali gus menunjukkan bekalan ubat terbabit diseludup masuk ke negara ini.

Carian di laman web Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati ubat antibiotik itu yang dikeluarkan oleh syarikat farmaseutikal di Indonesia, tidak berdaftar di sini kerana ubat-ubatan yang berdaftar di negara kita dilabel MAL.

Sementara itu, tinjauan di Puncak Alam pula mendapati sesetengah kedai runcit menjual antibiotik jenis 'Ampicillin trihydrate' yang dipamerkan pada rak jualan dan dapat dibeli dengan mudah selepas pembeli memaklumkan tujuan pembelian ubat terbabit.

"Ubat ini hanya boleh diambil kalau mendapat jangkitan seperti sakit tekak atau demam," kata peniaga kedai berkenaan selepas wartawan BH memaklumkan kononnya sedang sakit tekak dan kemudian membayar RM7.50 untuk 10 tablet ubat itu.

Penjualan ubat-ubatan memerlukan preskripsi doktor oleh pekedai runcit, menunjukkan isu berkenaan bukan setakat membabitkan farmasi, platform beli-belah dalam talian atau laman web sahaja seperti pendedahan BH, semalam.

Laporan pendedahan BH pada Ahad lalu.
Laporan pendedahan BH pada Ahad lalu.

BH semalam mendedahkan pelbagai jenis ubat-ubatan yang sepatutnya hanya boleh didapati dengan preskripsi doktor, dikesan bukan saja boleh dibeli dengan mudah di farmasi, malah melalui platform beli-belah dalam talian atau laman web.

Ia menimbulkan persoalan bagaimana ubat yang disenaraikan dalam Kumpulan B mengikut Akta Racun 1952 itu boleh dijual sewenang-wenangnya tanpa preskripsi doktor, sekali gus turut mendedahkan pengguna kepada risiko keselamatan kesihatan.

Mengikut Akta Racun 1952, ada empat kategori ubat termasuk Kumpulan B yang menetapkan pesakit harus menjalani pemeriksaan doktor terlebih dahulu dan mendapatkan preskripsi sebelum membeli ubat yang dikehendaki di farmasi.

Antara ubat yang tersenarai dalam kategori berkenaan adalah semua jenis antibiotik, ubat darah tinggi, kencing manis, kolestrol, sesetengah ubat gastrik bagi mengurangkan asid dalam perut dan sesetengah ubat tahan sakit.

Penyalahgunaan antibiotik yang diambil tanpa nasihat doktor boleh meningkatkan rintangan melawan bakteria, manakala pengambilan ubat kolesterol, darah tinggi dan kencing manis tanpa pemeriksaan berkala boleh menyebabkan komplikasi seperti kerosakan hati, mata, jantung dan angin ahmar.

Mengikut undang-undang, pesakit yang mahu membeli ubat tersenarai dalam Kumpulan B perlu mendaftar nama, alamat sendiri dan klinik yang memberi preskripsi, dos ubat untuk tempoh berapa hari dan tandatangan doktor.

Antibiotik ‘Ampicillin’. - Foto BH
Antibiotik ‘Ampicillin’. - Foto BH

Bahaya 'Ampicillin'

Antibiotik jenis 'Ampicillin' yang berada dalam kumpulan 'Penicillin', tidak boleh diberikan kepada sebarang pesakit kerana ada individu alah terhadap ubatan jenis itu dan boleh menyebabkan tindak balas tidak menyenangkan dan berisiko membawa maut.

Presiden Persatuan Doktor Islam Malaysia (PERDIM), Datuk Dr Ahmad Shukri Ismail, berkata tindak balas berkenaan termasuk kegatalan seluruh badan, bengkak mata atau lebih buruk, susah bernafas yang boleh membawa maut.

"Begitu juga dengan 'Ampicillin'. Biasanya doktor hanya akan memberi dos 250mg. Jika ada kedai runcit menjualnya pada dos 500mg, ia dikhuatiri terlalu kuat dan boleh memberi reaksi negatif yang lebih teruk kepada individu alah kepada ubat berkenaan," katanya.

Katanya, 'Ampicillin' dengan dos 250mg selalunya perlu dimakan setiap enam jam dan bagi tempoh sekurang-kurangnya lima hari.

'Penguatkuasaan KKM perlu lebih agresif'

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) digesa meningkatkan aspek penguatkuasaan secara lebih agresif bagi mengelakkan ubat-ubatan yang memerlukan preskripsi doktor dijual sewenang-wenangnya di premis luar, termasuk farmasi dan kedai runcit.

Datuk Dr Ahmad Shukri Ismail. - Foto BH
Datuk Dr Ahmad Shukri Ismail. - Foto BH

Presiden Persatuan Doktor Islam Malaysia (PERDIM), Datuk Dr Ahmad Shukri Ismail, berkata KKM tidak boleh lagi menunggu aduan daripada orang ramai, sebaliknya harus proaktif dan 'turun padang' membuat pemantauan serta penguatkuasaan.

"Masalah ini dilihat semakin meruncing apabila kedai runcit yang diusahakan warga asing pun berani menjual antibiotik yang diseludup dari luar. Isu ini tidak boleh dipandang ringan kerana ia jelas membabitkan pelanggaran undang-undang.

"Perbuatan ini bukan sahaja membahayakan kesihatan atau nyawa pengguna, tetapi juga menyebabkan kerugian buat negara. Jika pemerkasaan penguatkuasaan memerlukan pindaan undang-undang, ia perlu dilakukan," katanya ketika dihubungi BH, semalam.

Katanya, pihak berkuasa tidak wajar bergantung sepenuhnya kepada aduan atau laporan daripada orang awam untuk melancarkan tindakan penguatkuasaan.

"Sepatutnya tindakan awal perlu diambil dengan melakukan pemantauan dan penguatkuasaan secara berkala sebab kita tidak mahu isu ini berlarutan. Jika situasi memerlukan tindakan penguatkuasaan, terus buat pemeriksaan di kedai runcit atau farmasi.

"Tanggungjawab mesti diperkasakan," katanya sambil menambah, aspek perundangan berkaitan isu itu juga ada kelompongan dan wajar dipinda untuk memastikan ubat yang memerlukan preskripsi doktor, tidak dijual sewenang-wenangnya.

Mengenai penyeludupan masuk ubat-ubatan Kumpulan B ke Malaysia, beliau berkata, agensi penguatkuasaan di bawah KKM sepatutnya mengambil tahu perkara berkenaan, termasuk cara bekalan itu dibawa masuk ke negara ini.

"Jelas bahawa bekalan itu diseludup masuk kerana pihak berkuasa bertanggungjawab di negara kita tidak tahu. Ini bermakna penguatkuasaan perlu dipertingkatkan kerana bagaimana kedai runcit boleh jual antibiotik sewenang-wenangnya tanpa rasa takut," katanya.

Berita Harian X