Ahad, 20 September 2020 | 12:22pm
Calon Parti Bersatu Sabah, Datuk Joniston Bangkuai (dua kiri) dan Setiausaha Agung Perikatan Nasional, Datuk Seri Hamzah Zainuddin pada satu ceramah di pekan Kiulu, malam tadi. - Foto Ihsan PBS
Calon Parti Bersatu Sabah, Datuk Joniston Bangkuai (dua kiri) dan Setiausaha Agung Perikatan Nasional, Datuk Seri Hamzah Zainuddin pada satu ceramah di pekan Kiulu, malam tadi. - Foto Ihsan PBS

PRN Sabah: 'PBS ada rumah sendiri'

TUARAN: Parti Bersatu Sabah (PBS) menolak dakwaan kononnya kini sudah 'berkongsi bumbung' dengan PAS susulan kerjasama politik yang dijalin dengan Perikatan Nasional (PN).

Ketua Penerangan PBS, Datuk Joniston Bangkuai, berkata langkah menandatangani kerjasama politik secara rasmi bersama PN tidak mengubah hala tuju parti.

"Isu mengaitkan PBS dengan PAS adalah amat sensitif. Kami faham ada rakyat yang marah apabila seorang Ahli Parlimen membuat kenyataan yang menyentuh sensitiviti agama, tetapi itu pandangan peribadinya dan bukan pendirian rasmi PAS.

"Malah, PBS adalah parti pertama yang membidas kenyataan itu," katanya dalam majlis bersama pengundi Kiulu di sini, malam tadi.

Hadir sama, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Joniston yang mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kiulu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 ini, menegaskan PBS adalah rakan kongsi setara seperti mana Barisan Nasional (BN) dan PN.

"PBS kekal dengan rumah sendiri, namun kita mempunyai matlamat sama iaitu menumbangkan kerajaan negeri Parti Warisan Sabah (WARISAN)," katanya.

Beliau berkata, Sabah berpeluang menikmati hasil daripada produk minyak seperti mana diperoleh Sarawak, jika pentadbirannya selari dengan kerajaan Persekutuan.

"Walaupun Gabungan Parti Sarawak (GPS) bukan sebahagian daripada PN, mereka tetap menerima cek cukai jualan negeri (SST) bernilai hampir RM2 bilion hasil produk petroleum, baru-baru ini.

"Kita berharap PBS akan menyumbangkan seberapa banyak kerusi pada hari pengundian 26 September ini bagi membentuk Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk mentadbir negeri," katanya.

PBS meletak calon di 22 kerusi, dengan 17 daripada membabitkan persaingan dalam kalangan komponen PN dan sekutunya.



Berita Harian X