Sabtu, 19 September 2020 | 12:44pm
JPV daerah Kuala Terengganu melekatkan notis kawasan larangan di ladang Kampung Banggol Katong. Foto/Bernama
JPV daerah Kuala Terengganu melekatkan notis kawasan larangan di ladang Kampung Banggol Katong. Foto/Bernama

Jangan pindah ternakan elak penyakit merebak

KUANTAN: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) mengeluarkan amaran melarang aktiviti pemindahan ternakan daripada kandang serta ladang yang dijangkiti penyakit hawar berdarah atau haemorrhagic septicaemia (HS).

Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Datuk Dr Norlizan Mohd Noor berkata, tindakan berkenaan penting bagi memastikan kematian berskala besar tidak terus merebak ke seluruh negara.

Katanya, jabatan menasihatkan penternak yang ternakan mereka terdedah dengan penyakit HS supaya kuarantin ternakan bagi mengelak dijangkiti penyakit berkenaan.

HS adalah penyakit akut pasteurellosis disebabkan bakteria pasteurella multocida (p multocida) Carter's Type B dan biasanya menyerang ternakan lembu dan kerbau dan boleh menyebabkan kematian dalam tempoh lapan hingga 24 jam selepas dijangkiti.

"Penyakit menyerang ternakan pada musim hujan, bagaimanapun

penyakit tidak menjangkiti manusia," katanya melalui kenyataan media yang dikeluarkan, di sini hari ini.

Beliau berkata, penyakit HS mula dikesan di Kampung Banggol Katong, Serada Kuala Terengganu membabitkan 30 kerbau.

JPV Terengganu melakukan bedah siasat ke atas ternakan yang mati dan semua sampel dihantar ke makmal bagi tujuan pengesahan penyakit.

Notis arahan kuarantin mengikut seksyen 18 Akta Binatang 1953 dikeluarkan dan diserahkan kepada penternak terbabit, pada 13 September lalu.

Pemberian ubat antibiotik pada ternakan bergejala sudah dilakukan.

Pihaknya sentiasa menasihatkan kepada penternak mengenai kepentingan program pemvaksinan penyakit HS bagi tujuan pencegahan penyakit berkenaan boleh menyebabkan kerugian besar kepada penternak apabila lembu dan kerbau mereka mati.

"Penyakit HS adalah penyakit bukan zoonotik (tidak berjangkit pada manusia), masyarakat dinasihatkan tidak panik memandangkan tiada risiko penyakit berkenaan pada manusia.

"Penternak perlu melaporkan sebarang kes disyaki penyakit HS di mana-mana Pejabat Veterinar Negeri atau Pejabat Veterinar Daerah berdekatan," katanya.

Berita Harian X