Sabtu, 19 September 2020 | 9:14am
Tan Sri Lee Lam Thye
Tan Sri Lee Lam Thye

Beri perhatian serius insiden keracunan karbon monoksida

KUALA LUMPUR: Program Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH) membabitkan kematian akibat keracunan karbon monoksida (CO) di dalam kenderaan, perlu diberi perhatian serius dan diperluaskan sehingga di peringkat institusi pendidikan di seluruh negara.

Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata ini penting supaya setiap orang mengetahui bahawa CO yang disedut akibat kebocoran sistem ekzos kenderaan adalah beracun dan mampu membunuh tanpa disedari.

Katanya, insiden membabitkan keracunan CO ini sudah berulang kali berlaku, namun masih ada lagi yang mengambil ringan untuk terus berehat di dalam kenderaan sambil memasang penghawa dingin sehinggalah berlaku lagi kematian.

"Perkara ini tidak seharusnya berlaku kerana ia boleh dicegah jika semua orang mengetahui betapa bahayanya berehat di dalam kenderaan yang tidak bergerak sambil memasang penghawa dingin tanpa sebarang pengaliran pengudaraan berlaku.

"Kematian yang membabitkan pelajar baru-baru ini, satu tragedi yang menyayat hati. Justeru, aspek mengenai keselamatan komuniti harus diberi perhatian di peringkat institusi pendidikan supaya ilmu dan pendedahan mengenai aspek keselamatan dan bahaya yang boleh membawa risiko tinggi diketahui," katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

- Grafik sehatq.com
- Grafik sehatq.com

BH Rabu lalu melaporkan, tiga wanita, Sharifah Fariesha Syed Fathi, Ayuni Shazwanie Shabri dan Nor Adilah Mohd Safwan meninggal dunia, manakala Nor Aqilah kritikal, selepas keempat-empat mereka yang berumur 21 tahun ditemui tidak sedarkan diri di kawasan tempat letak kereta stesen minyak Sama Gagah, dipercayai akibat keracunan CO apabila mereka tertidur semasa berehat di dalam kereta itu, dengan cermin tingkap tertutup.

Lam Thye berkata, perkara lain yang boleh diberi perhatian membabitkan kenderaan ialah setiap kali ingin menyelenggara kenderaan, pastikan bahagian sistem ekzos berfungsi dengan baik.

"Saya berharap orang ramai berhati-hati pada masa akan datang dan menjadikan tragedi pelajar ini sebagai satu peringatan.

"Jangan lagi berehat di dalam kenderaan di kawasan Rawat dan Rehat (R&R) sambil kenderaan tidak dimatikan dan penghawa dingin terpasang.

"Kita kehilangan belia yang mempunyai masa depan yang cerah hanya kerana mereka tidak sedar tentang bahayanya tindakan yang dilakukan itu. Takziah kepada semua keluarga mangsa," katanya.

Berita Harian X