Jumaat, 18 September 2020 | 12:38pm
Laporan dalam BH Online.
Laporan dalam BH Online.

PRN Sabah: Laksanakan segera Majlis Khas MA63

KOTA KINABALU: Penubuhan Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) perlu dilaksanakan segera bagi mengelak persepsi bahawa ia hanya janji pilihan raya seperti yang sering berlaku sebelum ini.

Pensyarah kanan politik Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sabah, Tony Paridi Bagang, berkata MA63 sudah menjadi isu politik yang disebut setiap kali tiba pilihan raya.

Bagaimanapun, katanya apa yang menarik kali ini ialah Majlis Khas MA63 itu membabitkan ketua kerajaan Sabah dan Sarawak serta Perdana Menteri sendiri.

Tony Paridi Bagang.
Tony Paridi Bagang.

"Ini satu komitmen yang baharu dan segar. Ia harus dilaksanakan dengan kadar segera supaya persepsi rakyat tidak terus dibelenggu oleh pengumuman mahupun janji pilihan raya lalu yang belum menampakkan hasil signifikan.

"Bagi rakyat Sabah dan Sarawak, apa yang lebih penting adalah hasil atau 'outcome' yang berkesan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau mengulas pengumuman Perdana Menteri berkaitan penubuhan Majlis Khas MA63 ketika sambutan Hari Malaysia di Sibu, Sarawak, kelmarin.

Penubuhan Majlis Khas itu dipersetujui ketika mesyuarat jemaah menteri pada 9 September lalu.

Antara lain, ia akan membincangkan isu berkaitan dengan hak Sabah dan Sarawak seperti yang termaktub dalam MA63, termasuk kedudukan Sabah dan Sarawak sebagai Rakan Sekutu, hak negeri di bawah Perkara 112 Perlembagaan Persekutuan, MA63 dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan, keselamatan negeri dan pendidikan.

Sementara itu, Tony menyifatkan Aku Janji atau manifesto Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang dilancarkan kelmarin lebih menyeluruh dengan penekanan terhadap perkara bersifat tempatan.

"Ia dirancang sejajar dengan perancangan dan inisiatif kerajaan di peringkat nasional. Umpamanya dalam aspek keselamatan.

"Manifesto GRS ini menonjolkan aspek hubungan federalisme amat penting dalam pentadbiran dan pembangunan Sabah," katanya.

GRS ialah nama gabungan untuk merujuk kepada kerjasama Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

Aku Janji gabungan itu menumpukan aspek ekonomi, infrastruktur, perkhidmatan awam, kesihatan dan kesejahteraan rakyat, pendidikan dan sumber manusia, keselamatan serta pembangunan belia dan wanita.



Berita Harian X