Khamis, 17 September 2020 | 8:56pm
Empat pemancing ditemui berada di atas pokok nipah hanyut selepas bot mereka karam di perairan Tanjung Po, Kuching. - NSTP/Melvin Joni
Empat pemancing ditemui berada di atas pokok nipah hanyut selepas bot mereka karam di perairan Tanjung Po, Kuching. - NSTP/Melvin Joni

Pohon nipah hanyut jadi penyelamat mangsa bot karam

KUCHING: Empat pemancing yang dilaporkan hilang selepas bot mereka karam di perairan Tanjung Po di sini, ditemui selamat.

Pengarah Maritim Sarawak, Laksamana Pertama Robert Teh Geok Chuan, berkata pihaknya menerima laporan mengenai keadaan itu daripada adik seorang mangsa jam 5.15 petang tadi.

Katanya, pemancing terdiri daripada Bong Fah Yew, 48 dan Adenan Suna, 44, yang juga warga tempatan bersama dua lagi warga Indonesia itu diselamatkan sebuah bot pemancing, lebih kurang 21.5 batu nautika daripada lokasi mereka karam.

"Kesemua mangsa ditemui dalam keadaan selamat berada di atas pokok nipah hanyut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Robert berkata, sejurus mendapat maklumat, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sarawak menugaskan kapal, KM Mengalum, ke lokasi bagi mengambil kesemua mangsa untuk dibawa pulang dan tiba di Jeti Muara Tebas, jam 7.30 malam ini.

Empat mangsa itu adalah kumpulan lima pemancing yang dilaporkan hilang, selepas bot digunakan mereka karam di perairan Tanjung Po pada Selasa lalu.

Seorang daripada mereka iaitu Richard Chee, 38, dijumpai selamat pada jam 10.15 pagi tadi dan sudah dibawa ke jeti Muara Tebas oleh KM Mengalum.

Berita Harian X