Khamis, 17 September 2020 | 1:31pm
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika menerima simbolik Aku Janji Gabungan Rakyat Sabah daripada Ketua Badan Pimpinan BERSATU Sabah Datuk Seri Hajiji Noor pada Majlis Pelancaran Aku Janji Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri Sabah di Grand Ballroom Magellan Sutera Harbour Golf & Country Club, semalam. - Foto BERNAMA
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika menerima simbolik Aku Janji Gabungan Rakyat Sabah daripada Ketua Badan Pimpinan BERSATU Sabah Datuk Seri Hajiji Noor pada Majlis Pelancaran Aku Janji Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri Sabah di Grand Ballroom Magellan Sutera Harbour Golf & Country Club, semalam. - Foto BERNAMA

PRN Sabah: 'Perincikan Aku Janji GRS kepada rakyat'

KOTA KINABALU: Parti yang bernaung di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) perlu memberi penjelasan secara terperinci mengenai setiap perkara digariskan dalam manifesto atau Aku Janji gabungan itu yang dilancarkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam.

Penganalisis politik dari Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr Lee Kuok Tiung, berkata manifesto itu umpama kertas dasar yang hanya menggariskan perkara asas mahu dilakukan GRS jika membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN), 26 September ini.

Beliau berkata, ada perkara yang mungkin sukar difahami rakyat dengan hanya membaca senarai Aku Janji itu kerana tidak dilengkapi penerangan menyeluruh mengenai kebaikan dan manfaat yang bakal dinikmati rakyat apabila dilaksanakan.

"Manifesto ini umpama kertas dasar tetapi waktu mereka berkempen perlu dijelaskan dalam konteks yang difahami oleh pengundi mengikut lokaliti dan golongan sasaran yang pelbagai," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas Aku Janji GRS yang antara lain menumpukan aspek ekonomi, infrastruktur, perkhidmatan awam, kesihatan dan kesejahteraan rakyat, pendidikan dan sumber manusia, keselamatan serta pembangunan belia dan wanita.

GRS ialah gabungan merujuk kepada kerjasama Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) dalam PRN kali ini.

Kuok Tiung berkata, secara umumnya manifesto GRS kelihatan holistik dan merangkumi semua aspek yang berkaitan dengan kepentingan rakyat di negeri ini.

"Ia mirip agenda Transformasi Nasional 2050 (TN50) dahulu dan kita mengharapkan dalam penghuraiannya, ia mampu disesuaikan dengan konteks polemik yang muncul disebabkan pandemik COVID-19," katanya.

TN50 merujuk kepada pelan pembangunan jangka panjang yang dirangka kerajaan BN pada 2017 yang sepatutnya mula dilaksanakan pada tahun ini, namun tidak kesampaian berikutan kekalahan BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) dua tahun lalu/

Mengenai perbandingan dengan manifesto atau visi Parti Warisan Sabah (WARISAN), Kuok Tiung berkata manifesto kedua-dua parti dilihat mempunyai persamaan dari segi inti patinya.

"Belum tiba masanya untuk membuat perbandingan manifesto siapa lebih baik, GRS atau WARISAN.

"Secara dasarnya, inti pati mereka ada persamaan," katanya.

GRS menawarkan sembilan teras Aku Janji dengan antara tumpuannya ialah pembinaan jambatan menghubungkan Labuan dan Sabah dalam aspek infrastruktur selaras komitmen untuk meningkatkan kesalinghubungan dan menjana pertumbuhan sosioekonomi penduduk Sabah dan Labuan.

Ia turut menggariskan tumpuan terhadap usaha untuk mempercepatkan pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo, menaik taraf kereta api selain jaringan internet untuk kemudahan rakyat negeri ini.



Berita Harian X