Rabu, 16 September 2020 | 7:22pm

PRN Sabah: 9 teras Aku Janji GRS

KOTA KINABALU: Perikatan Nasional (PN) bersama Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) menawarkan sembilan teras Aku Janji atau manifesto untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini.

Gabungan itu yang kini dikenali sebagai Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menggariskan Aku Janji berkaitan infrastruktur, ekonomi, peluang pekerjaan, perkhidmatan awam, pendidikan dan modal insan, kesihatan dan kesejahteraan rakyat, keselamatan, belia dan pembangunan wanita.

Pembinaan jambatan menghubungkan Labuan dan Sabah digariskan sebagai antara keutamaan Aku Janji berkaitan infrastruktur, selaras komitmen meningkatkan kesalinghubungan dan menjana pertumbuhan sosioekonomi penduduk Sabah dan Labuan.

GRS turut memberi tumpuan kepada usaha mempercepatkan pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo, menaik taraf kereta api selain jaringan internet untuk kemudahan rakyat di seluruh Sabah.

Dalam aspek ekonomi, antara lain GRS menumpukan usaha membangunkan Pelabuhan Sepanggar sebagai hab perkapalan bagi melonjakkan industri logistik Sabah selain menimbangkan usaha untuk mewujudkan kawasan perdagangan bebas di kawasan strategik dan menumpukan pembangunan pertanian.

Usaha menyediakan peluang pekerjaan pula tertumpu kepada kerjasama dengan kerajaan persekutuan untuk menarik pelaburan berkualiti tinggi berasaskan sektor utama untuk mewujudkan peluang kerja berpendapatan tinggi.

GRS turut membuat ketetapan supaya projek mega dilaksanakan di Sabah mesti menggunakan tenaga kerja anak tempatan, selain menggalakkan anak Sabah mengambil peluang bersaing dalam era digitalisasi menerusi pendedahan kursus bersasar.

Dalam pada itu, sektor perkhidmatan awam negeri akan terus dinaiktaraf ke arah perkhidmatan digital untuk memperkasakan penyampaian kepada rakyat dan menjamin kebajikan penjawat awam.

Menerusi aspek kesihatan dan kesejahteraan rakyat, GRS menggariskan komitmen untuk menambah fasiliti kesihatan baharu dan kemudahan sedia ada di seluruh negeri.

GRS turut mencadangkan pembentukan satu skim dikenali Skim Sihat Sabah untuk golongan yang memerlukan agar mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan.

Selebihnya, bidang pendidikan dan modal insan menumpukan usaha meningkatkan capaian internet berkelajuan tinggi bagi memperkasa pendidikan digital selain menambah baik kualiti prasarana sekolah, termasuk berkaitan sekolah daif.

Dalam bidang keselamatan, GRS menumpukan usaha memperkasa urus tadbir sistem keselamatan dan kerakyatan, menggiatkan usaha mengusir pendatang tanpa izin dan mengukuhkan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM).

Tidak ketinggalan, belia turut diberi perhatian sewajarnya dengan tumpuan ke arah meningkatkan pembabitan dalam keusahawanan dan sukan termasuk e-sukan.

Akhir sekali, GRS turut menumpukan pembangunan wanita dengan meningkatkan pembabitan golongan itu dalam menguasai teknologi digital dan keusahawanan.

Secara keseluruhan Aku Janji GRS memberi tumpuan kepada hak Sabah, kepemimpinan yang bersih dan berintegriti, bertunjangkan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dan perpaduan rakyat Sabah.



Berita Harian X