Rabu, 16 September 2020 | 7:04pm
Penyokong Barisan Nasional (BN) Fazilah Ahmad (kiri) dan penyokong Perikatan Nasional, Arwinda Mirula (kanan) menunjukkan risalah ‘Aku Janji' Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada pelancaran buku ‘Aku Janji' gabungan rakyat Sabah sempena Pilihan Raya Negeri Sabah. - Foto BERNAMA
Penyokong Barisan Nasional (BN) Fazilah Ahmad (kiri) dan penyokong Perikatan Nasional, Arwinda Mirula (kanan) menunjukkan risalah ‘Aku Janji' Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada pelancaran buku ‘Aku Janji' gabungan rakyat Sabah sempena Pilihan Raya Negeri Sabah. - Foto BERNAMA

PRN Sabah: 'Kami yakin dengan Aku Janji GRS'

KOTA KINABALU: Aku Janji Gabungan Rakyat Sabah (GRS) diyakini mampu direalisasikan berdasarkan kekuatan gabungan membabitkan Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) serta Parti Bersatu Sabah (PBS).

Malah, beberapa individu yang ditemui menzahirkan kelegaan kerana Aku Janji itu antara lain memberi hak kepada rakyat Sabah seperti yang termaktub dalam Perjanjian Sabah 1963 (MA63).

Kakitangan hotel, Arwinda Mirula, 29, yakin gabungan parti di bawah GRS cukup teguh untuk melaksanakan janji diberi dan membolehkan rakyat Sabah menikmati kehidupan lebih baik berbanding sebelumnya.

"Sudah lama rakyat Sabah mahukan perubahan dan mendapat hak kami seperti yang dinyatakan dalam Perjanjian Sabah 1963.

"Dengan gabungan parti ini, saya yakin ia akan mampu dilaksana," katanya.

Pekerja swasta, Fazilah Ahmad, 35, bersyukur kerana Aku Janji itu antara lain meletak sasaran melaksanakan pembangunan seimbang di semua wilayah di negeri itu.

"Kami di Kota Kinabalu mungkin sudah menikmati banyak kemudahan tapi banyak lagi kawasan lain di Sabah masih mundur dengan masalah kemudahan asas seperti jalan raya dan ekonomi.

"Aku Janji itu ada menyebut untuk memberi tumpuan pembangunan sama rata di semua wilayah, jadi saya rasa inilah masa terbaik ia dikotakan demi kebaikan rakyat Sabah secara keseluruhan," katanya.

Peniaga, Japiril Suhaimin, 57, senada dengan yang lain apabila memberi fokus kepada MA63 yang sudah lama dituntut rakyat negeri itu dan yakin sudah tiba masa bagi rakyat Sabah menikmatinya.

"Kerjasama baik Sabah dengan kerajaan Persekutuan amat diperlukan. Bagi saya apabila adanya gabungan kali ini, ia lebih mudah dilaksana dan saya yakin mereka akan penuhi janji dalam manifesto ini," katanya.

Aku Janji GRS yang dilancarkan Perdana Menteri merangkap Pengerusi PN, menggariskan sembilan teras utama yang memfokuskan kepada infrastruktur, ekonomi, peluang pekerjaan, perkhidmatan awam, pendidikan dan modal insan, kesihatan dan kesejahteraan rakyat, keselamatan, belia, serta pembangunan wanita.



Berita Harian X