Rabu, 16 September 2020 | 2:54pm

CSM tidak terima laporan kebocoran data 1,400 rakyat Malaysia

KUALA LUMPUR: Cyber Security Malaysia (CSM) tidak menerima sebarang laporan berhubung dakwaan syarikat China yang ada kaitan dengan tentera dan rangkaian perisikan mengumpul data 1,400 rakyat Malaysia.

CSM dalam satu kenyataan pada BH hari ini memaklumkan secara umumnya, isu keselamatan siber seperti kebocoran maklumat dan data rakyat di negara ini berada pada tahap terkawal.

"Bagaimanapun, pelbagai usaha serta inisiatif sedang dan akan diadakan bagi mewujudkan persekitaran keselamatan siber berdaya tahan dan selamat.

"Dalam hal ini, setiap individu dan organisasi yang menyimpan data peribadi pengguna perlu sentiasa memperkukuhkan sistem penyimpanan data supaya ia tidak mudah diceroboh pihak tidak bertanggungjawab," katanya.

Mengulas lanjut, CSM berkata pihaknya bekerjasama erat dengan Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi menjalankan siasatan jika menerima sebarang laporan kebocoran maklumat.

"Berkaitan isu berbangkit, terdapat beberapa pihak berwajib yang bertanggungjawab untuk membuat siasatan secara menyeluruh.

"Setiap laporan diterima akan dimaklumkan kepada pihak berkuasa berkaitan untuk siasatan dan tindakan selanjutnya," katanya.

Menurut kenyataan itu, semua pihak perlu memberi perhatian sewajarnya bagi membendung isu ketirisan data.

Katanya, kempen inisiatif kesedaran mengenai isu keselamatan siber perlu diadakan dari semasa ke semasa bagi memberi pemahaman menyeluruh mengenai kaedah pengurusan data terbaik.

"Pada masa kini, jika berlaku pencerobohan data, ia akan menimbulkan keresahan serta kerisauan jika sekiranya data itu dijual di pasaran gelap (dark web).

"Data itu kemudian berpotensi untuk dieksploitasi bagi tujuan tertentu.

"Jika isu sedemikian berbangkit, semua pihak yang terbabit perlu mengambil perhatian dalam membendung perkara ini daripada berulang," katanya.

Kelmarin, media ABC News, Australia, dilaporkan memaklumkan maklumat 1,400 rakyat Malaysia itu adalah antara data 250,000 individu yang bocor daripada pangkalan data Zhenhua Data, yang menyimpan maklumat 2.4 juta orang.

Laporan itu tidak menjelaskan secara terperinci apa jenis maklumat 1,400 rakyat Malaysia itu yang dikumpul tetapi mendedahkan bahawa data 35,558 rakyat Australia yang bocor merangkumi ahli politik, hakim, diplomat, wartawan dan hartawan.

Berita Harian X