Rabu, 16 September 2020 | 1:33pm
Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jen Tan Sri Affendi Buang. - NSTP/Aizuddin Saad
Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jen Tan Sri Affendi Buang. - NSTP/Aizuddin Saad

COVID-19 antara sebab operasi hospital medan Cox's Bazar ditamatkan

KUALA LUMPUR: Operasi Hospital Medan Malaysia (HMM) di kem pelarian Cox's Bazar, Bangladesh ditamatkan lebih awal pada Mac lalu berikutan beberapa faktor, antaranya penularan COVID-19 di negara itu.

Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jen Tan Sri Affendi Buang, berkata khidmat petugas perubatan ATM juga lebih diperlukan dalam negara bagi menangani pandemik berkenaan.

"Pada masa sama, keadaan di sana (Cox's Bazar) juga stabil dengan penurunan ketara kes dan kecederaan kecemasan selain pertambahan bilangan hospital medan yang beroperasi di kem pelarian itu," katanya kepada Bernama dalam wawancara khas bersempena Hari ATM ke-87 baru-baru ini.

Operasi Hospital Medan Malaysia (HMM) di kem pelarian Cox’s Bazar, Bangladesh ditamatkan berikutan beberapa faktor, antaranya penularan COVID-19 di negara itu. - Foto fail NSTP/Muhd Zaaba Zakeria
Operasi Hospital Medan Malaysia (HMM) di kem pelarian Cox’s Bazar, Bangladesh ditamatkan berikutan beberapa faktor, antaranya penularan COVID-19 di negara itu. - Foto fail NSTP/Muhd Zaaba Zakeria

ATM diberi mandat mengoperasikan HMM bermula 20 November 2017 hingga penghujung tahun ini bagi menampung keperluan kesihatan dan perubatan komuniti Rohingya di kem pelarian berkenaan.

Namun operasi HMM ditamatkan lebih awal dan semua petugas dibawa pulang ke Malaysia pada 26 Mac lalu.

Mengulas lanjut, Affendi berkata sepanjang operasi, HMM mengendalikan 108,038 kes termasuk pembedahan dan menyambut kelahiran.

"Pengoperasian HMM pernah diperakui oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia sebagai HMM Tahap 3 terbaik iaitu HMM menjadi pusat rujukan bagi hospital lain di sekitar Cox's Bazar," katanya.

Mengulas perkembangan lain, beliau berkata pada masa ini seramai 1,361 pegawai dan anggota ATM terbabit dalam penugasan membantu Polis Diraja Malaysia menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) termasuk Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Bersasar di Perlis dan Kedah melalui pelaksanaan sekatan jalan raya. - BERNAMA

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X