Rabu, 16 September 2020 | 12:24pm
Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tulid yang juga bekas pemain bola sepak Sabah, Motusin B Bowie @ Matius (lima dari kanan) bersama penduduk Kampung Magatang pada kempen Pilihan Raya Negeri (PRN). - Foto BERNAMA
Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tulid yang juga bekas pemain bola sepak Sabah, Motusin B Bowie @ Matius (lima dari kanan) bersama penduduk Kampung Magatang pada kempen Pilihan Raya Negeri (PRN). - Foto BERNAMA

Dua Matusin berentap di DUN Tulid

KENINGAU: Dua calon berkongsi nama sama akan berentap dengan lima lagi calon merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tulid pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ini.

Bekas pemain pertahanan pasukan bola sepak Sabah, Matusin Bowie @ Matius daripada Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan calon Parti Cinta Sabah (PCS), Matusin Timam yang juga bekas penolong pegawai perubatan, antara tujuh calon bertanding di Tulid, iaitu antara 13 kerusi baharu ditawarkan kali ini.

Matusin yang juga pemain bola sepak era 1990-an itu berkata, persaingan dua nama itu menarik dan kempen terbuka rancak dengan setiap calon menawarkan manifesto masing-masing kepada 8,910 pengundi Tulid.

"Saya pun tidak menyangka wujud nama sama tetapi itulah adat pertandingan politik. Saya mungkin muka baharu tetapi saya setia kepada parti sejak dahulu lagi selepas menggantung but bola hingga diberikan kepercayaan untuk diangkat menjadi calon.

"Isu keperluan asas pastinya antara yang akan dibawa dan dijelaskan kepada pengundi kerana mereka berhak mendapatkan akses serta keperluan sebaik-baiknya," katanya kepada BERNAMA.

Sementara itu, Matusin Timam berkata, permasalahan rakyat di DUN Tulid terutama isu bekalan air terawat dan kekurangan keperluan asas seperti jalan raya menjadi manifesto peribadi yang akan dilaksanakannya sekiranya diberi mandat, 26 September ini.

Beliau berkata, ia isu utama dibangkitkan pengundi di DUN Tulid dan menjadi tanggungjawab perlu diselesaikan selepas ia gagal ditangani sejak puluhan tahun lalu.

"PCS juga menawarkan satu sistem kerajaan negeri lebih stabil bagi membawa Sabah lebih maju. Oleh itu, harapan saya besar terutama kepada pengundi muda dan pengundi atas pagar supaya membuat pilihan terbaik yang akan memberi pulangan kepada mereka," katanya.

DUN Tulid turut direbut lima lagi pencabar, iaitu Dahalan@Ulin Abdullah @ Amil daripada Parti Liberal Demokratik (LDP); Mudi Dubing (Parti Warisan Sabah/WARISAN); Flovia Ng (Perikatan Nasional-STAR); Mohamad Khairy Abdullah (Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu/USNO) dan Suman Yasambun (Parti Bersatu Sabah/PBS).

Bagi Mohamad Khairy pula, beliau yakin mempunyai kelebihan selepas berlakunya pertembungan sesama sendiri 'parti sekapal' membabitkan calon Perikatan Nasional (PN), Barisan Negara (BN) dan PBS.

"Pertembungan tiga sekutu politik ini pasti menyebabkan pengundi hilang keyakinan terhadap keutuhan kerjasama mereka, sekali gus mendorong perpecahan undi, selain undi protes penyokong yang kecewa dengan situasi ini.

"Justeru, pasti ramai pengundi akan menjadikan kami sebagai pilihan alternatif dan kami cuma perlu berusaha lebih keras memastikan pengundi atas pagar cenderung mengundi kami," kata bekas wartawan itu.

Sementara itu, Flovia masih mampu melemparkan senyuman walaupun ditemubual lewat malam selepas menyantuni penduduk di beberapa kampung termasuk di Mailo dan Simbuan kira-kira 35 kilometer dari pekan Keningau, yang memerlukan perjalanan sejam untuk sampai.

"Ini pengalaman baharu kepada saya. Dulu saya boleh ke pasar, ke sana sini jumpa rakan-rakan, kini saya ditemani pasukan dan jentera untuk turun padang serta berkempen seawal pagi sampai malam.

"Isu bekalan air bersih dan elektrik serta jalan raya lebih baik pastinya akan menjadi bahan kempen," jelasnya.



Berita Harian X