Selasa, 15 September 2020 | 2:02pm
Petugas JPV Terengganu memeriksa sebahagian daripada lima ekor kerbau milik keluarga Muhammad Syukur yang mati pagi ini di Kampung Banggol Katong.
Petugas JPV Terengganu memeriksa sebahagian daripada lima ekor kerbau milik keluarga Muhammad Syukur yang mati pagi ini di Kampung Banggol Katong.

Kandang kerbau keluarga Syukur ditutup oleh JPV

KUALA TERENGGANU: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu hari ini menutup kandang kerbau milik keluarga Muhammad Syukur Khamis, atau lebih dikenali sebagai 'Mowgli Malaysia' daripada dikunjungi orang ramai.

Penutupan kandang kerbau dengan tali penghalang amaran itu dijalankan mengikut Akta Binatang 1953 (Akta 647) Kawalan Penyakit bagi mengehadkan kemasukan orang awam ke kawasan kandang, seterusnya mengelakkan penularan wabak Haemorrhagic Septicaemia (HS) atau hawar berdarah ke kawasan lain.

Pengarah JPV Terengganu, Dr Mohd Termizi Ghazali, berkata pihaknya berharap orang ramai memberi kerjasama dengan tidak memasuki kawasan kandang kerbau terbabit.

"Di kandang kerbau itu, banyak bakteria HS. Oleh itu sesiapa yang datang ke situ kemudian ke tempat lain, boleh menyebabkan penularan wabak di kawasan berkenaan pula.

"Hari ini kita terpaksa menutup kandang kerbau itu daripada dikunjungi orang awam terutama penternak lain.

"Penyakit HS itu cepat merebak sekiranya tidak dikawal dibimbangi ternakan pentenak berhampiran pula yang akan diserang penyakit sama," katanya.

Kawasan kandang kerbau milik keluarga Muhammad Syukur kini dipasang pita larangan lawatan orang ramai oleh Jabatan Pekhidmatan Veterinar
Kawasan kandang kerbau milik keluarga Muhammad Syukur kini dipasang pita larangan lawatan orang ramai oleh Jabatan Pekhidmatan Veterinar

Dr Mohd Termizi berkata, pihaknya juga akan mengumpul penduduk setempat termasuk penternak lain di kawasan Kampung Banggol Katong untuk memberikan taklimat dan penerangan mengenai penyakit HS itu.

"Sekarang sudah terlewat sekiranya untuk memindahkan ternakan ke kawasan lain kerana dibimbangi ternakan itu sudah menghidap HS.

"Bukan semua ternakan dijangkiti HS terus mati kerana ia bergantung kepada antibodi ternakan juga.

"Ternakan yang mempunyai antibodi yang kuat akan mengambil masa untuk mati tetapi tetap menjadi pembawa penyakit HS dan boleh menjangkiti ternakan lain," katanya.

Beliau berkata, pihaknya berharap penternak tidak memindahkan ternakan dari kawasan yang mempunyai kes HS ke kawasan lain dalam tempoh terdekat.

"Sebaiknya kurung ternakan di kandang ternak masing-masing dan hadkan kedatangan orang luar ke kandang," katanya.

Sementara itu, Khamis Jusoh, 64, berkata beliau akur dengan arahan penutupan kandang kerbau oleh JPV Terengganu itu.

"Apa boleh buat, tindakan penutupan kandang kerbau itu untuk kebaikan semua bagi mengelakkan penyakit itu merebak ke kawasan lain.

"Cuma sebagai penternak, saya kesiankan kerbau yang berada di kandang itu kerana berada di tengah panas, maklumlah tak boleh keluar dan kandang pula tidak berbumbung.

"Kebiasaannya jam 7 pagi semua kerbau dilepas bebas berendam di air dan lumpur berdekatan tetapi sekarang terkurung di dalam kandang," katanya.

Media semalam melaporkan lebih 30 daripada 110 kerbau milik keluarga itu mati akibat serangan penyakit hawar berdarah sejak Rabu lalu.

Hari ini, lima ekor lagi kerbau milik keluarga terbabit mati akibat serangan penyakit sama

Berita Harian X