Rabu, 9 September 2020 | 4:35pm
- Foto hiasan
- Foto hiasan

NUTP saran penambahbaikan segera TVET

KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) menyarankan agar strategi dan hala tuju program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dirangka secara lebih jelas serta konsisten selaras perkembangan teknologi semasa.

Setiausaha Agungnya, Harry Tan Huat Hock, berkata inisiatif mengadakan sesi latihan untuk pelajar terutama Tingkatan Tiga berkaitan bidang teknikal dan vokasional adalah amat penting kerana mereka bakal memacu kegemilangan negara pada masa hadapan.

"Dalam era Revolusi Industri 4.0, penggunaan teknologi dan automasi akan lebih canggih di mana negara akan ketinggalan sekiranya tidak dibuat penambahbaikan dengan segera terhadap TVET.

"Saat ini, kita juga perlukan perancangan rapi supaya lulusan TVET menerusi Perantisan Industri Menengah Atas (PIMA), Program Vokasional Menengah Atas (PVMA) dan Kolej Vokasional dapat mengurangkan kebergantungan negara kepada sumber tenaga kerja asing pada masa depan.

Setiausaha Agung NUTP, Harry Tan Huat Hock.
Setiausaha Agung NUTP, Harry Tan Huat Hock.

"Dalam mencapai impian menjadi negara maju berpendapatan tinggi serta mempunyai acuan tersendiri, Malaysia perlu tenaga kerja tempatan berkemahiran, berdaya saing serta berkualiti tinggi," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengenai TVET Pertanian, Harry berkata, ia perlu dirai sebagai bidang yang boleh menjana kelestarian ekonomi dan wajar diangkat sebagai agenda penting dalam usaha memperkasakan sektor pendidikan negara.

"NUTP juga menyarankan supaya pendidikan berkaitan teknologi seperti automatif, mesin dan pendingin hawa yang membolehkan rakyat Malaysia menjana pendapatan tinggi, diberi fokus utama.

"Ini bermakna pelajar di Kolej Vokasional yang mengikuti pendidikan kemahiran diberi tumpuan kerana mereka bermula dari peringkat umur muda, iaitu selepas tamat Tingkatan Tiga," katanya.

Berita Harian X