X
Rabu, 9 September 2020 | 4:15pm
 Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz

Tarikh tutup langgan Sukuk Prihatin 17 September ini

PUTRAJAYA: Tarikh tutup langganan Sukuk Prihatin adalah pada 17 September ini, kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Katanya, Sukuk Prihatin membuka peluang kepada rakyat untuk bersama dalam usaha kerajaan membina semula ekonomi negara pasca COVID-19.

"Ia adalah sukuk digital pertama di Malaysia, di mana dana yang terkumpul akan disalurkan kepada inisiatif seperti penambahbaikan keterhubungan di sekolah luar bandar, sokongan kepada peniaga mikro dan penyelidikan penyakit berjangkit," katanya.

Beliau berkata demikian dalam Laporan LAKSANA Ke-20 pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) di sini, hari ini.

Tengku Zafrul berkata, Sukuk Prihatin bukan saja akan membantu mereka yang terjejas, malah menawarkan kadar keuntungan dua peratus setiap tahun bagi tempoh matang dua tahun, dengan bayaran keuntungan suku tahunan

"Pada tempoh matang, pelabur boleh memilih untuk menderma prinsipal dan mendapat potongan cukai.

"Langganan boleh dibuat melalui kemudahan JomPAY dan DuitNow secara dalam talian melalui laman web 27 institusi perbankan dengan tarikh tutup langganan adalah pada 17 September 2020," katanya.

Bulan lalu, kerajaan melancarkan Sukuk Prihatin berjumlah RM500 juta, antara salah satu inisiatif di bawah PENJANA.

Permintaan sukuk patuh Syariah itu adalah terbitan pertama kerajaan yang boleh dilanggani 100 peratus.

Jumlah minimum pelaburan pertama sebanyak RM500.

Sementara itu, mengenai program ePENJANA, Tengku Zafrul berkata, setakat 28 Ogos lalu, sebanyak RM517.9 juta telah berjaya disalurkan kepada 10.4 juta penerima di seluruh negara.

"Jumlah ini adalah bersamaan dengan 69 peratus tahap pencapaian. Penerima ePENJANA diingatkan bahawa kredit di dalam e-dompet ini perlu digunakan sebelum 30 September 2020.

"Selepas tarikh itu, nilai kredit akan luput daripada akaun pengguna e-dompet," katanya.

Berita Harian X