Selasa, 8 September 2020 | 6:03pm

Penjawat awam wanita lesap RM586,000 ditipu Macau Scam

KOTA BHARU: Bukan setakat simpanan peribadi, malah wang pinjaman yang diperoleh daripada tiga bank, turut lesap selepas seorang wanita diperdaya sindiket Macau Scam.

Kerugian mencecah lebih setengah juta itu, dialami seorang wanita berusia 40-an yang juga penjawat awam, selepas dihubungi suspek yang menyamar sebagai pegawai polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kelantan, Superintendan Ahmad Azizul Mohamed, berkata mangsa pada mulanya dihubungi suspek yang menyamar sebagai pegawai polis berpangkat sarjan pada 26 Julai lalu dengan alasan wanita itu terbabit kes pengubahan wang haram berjumlah RM1.48 juta.

"Mangsa kemudian dihubungkan dengan beberapa suspek lain yang menyamar sebagai pegawai polis, termasuk pegawai penyiasat (IO) kes jenayah pengubahan wang haram.

"Selama beberapa hari, mangsa dan suspek yang menyamar sebagai IO kes berhubung setiap hari bagi tujuan siasatan dan mangsa tidak dibenarkan memaklumkan mengenai siasatan sulit yang sedang dijalankan kepada sesiapa termasuk ahli keluarga mahupun kenalan.

"Dalam tempoh sama, mangsa juga diminta mendedahkan kesemua akaun bank yang dimilikinya," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Ahmad Azizul berkata, pada penghujung Julai lalu, suspek yang menyamar pegawai polis berpangkat inspektor, menghantar satu imej waran tangkap terhadap mangsa melalui aplikasi WhatsApp bagi menangkap dan membawa mangsa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah kerana kes itu kononnya disiasat di negeri terbabit.

Katanya, mangsa kemudiannya dihubungkan kepada suspek lain yang menyamar pegawai kanan berpangkat Asisten Superintendan (ASP) yang sudi membantu menyelesaikan masalah mangsa dan dalam masa yang sama memperdaya mangsa untuk membuat beberapa transaksi pindahan wang sehingga berjumlah melebihi RM200,000 ke beberapa akaun bank peribadi milik pihak ketiga.

"Mangsa juga diperdaya membuat tiga pinjaman bank berjumlah RM370,000 dengan tiga institusi perbankan berbeza dalam tempoh masa 30 hari, yang mana sebaik kesemua pinjaman itu diluluskan dan dikreditkan ke dalam akaun bank miliknya, mangsa diarahkan untuk menyerahkan butiran perbankan internet

serta nombor Kod Pengesahan Transaksi (TAC) bagi semua akaun bank itu kepada suspek.

"Mangsa mula menyedari sudah diperdaya oleh sindiket Macau Scam dan berkongsi apa yang berlaku dengan seorang ahli keluarganya lalu membuat laporan polis dengan kerugian berjumlah RM586,000 pada dua hari lalu dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan (KK)," katanya.

Beliau berkata, kejadian itu adalah kerugian terbesar membabitkan kes Macau Scam diterima polis Kelantan tahun ini dan pihaknya sudah banyak kali membuat paparan dan laporan menerusi media massa berkaitan jenayah itu, namun orang ramai masih terpedaya dengan sindiket penipuan terbabit.

Beliau menasihati orang ramai supaya tidak mudah percaya dan mengikut arahan yang diberikan individu yang hanya berhubung secara dalam talian sahaja.

"Jangan sewenang-wenangnya mendedahkan maklumat peribadi dan kewangan kepada individu yang tidak dikenali," katanya.

Berita Harian X