Sabtu, 5 September 2020 | 4:51pm
Khairy Jamaluddin (dua dari kiri) melihat peralatan yang dipamerkan sempena Perasmian Minggu Sains Negara Peringkat Negeri Sembilan 2020, di Dewan Biduanda UiTM Cawangan Rembau. - Foto/Mohd Amin Jalil
Khairy Jamaluddin (dua dari kiri) melihat peralatan yang dipamerkan sempena Perasmian Minggu Sains Negara Peringkat Negeri Sembilan 2020, di Dewan Biduanda UiTM Cawangan Rembau. - Foto/Mohd Amin Jalil

MOSTI promosikan bidang sains, teknologi dan inovasi

REMBAU: Bidang sains, teknologi dan inovasi (STI) akan dipromosi dengan lebih luas di semua peringkat masyarakat dalam usaha mencari sumber kekayaan baharu negara.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, berkata bidang itu perlu kerana ia penting sejajar dengan hasrat kerajaan supaya masyarakat mampu mencapai pendapatan tinggi dalam kalangan, pada masa depan.

Katanya, pihaknya akan mengutamakan bakat tempatan kerana pembudayaan inovasi dan kreativiti pada semua peringkat perlu dipergiatkan bagi memacu pembangunan dan kejayaan negara.

"Kita hendak berpendapatan tinggi dan kerana itu sains amat penting, malah ia mampu mengubah cara hidup dan memacu kehidupan manusia. Sebagai contoh melalui sains, benih padi boleh meningkatkan hasil berkali ganda.

"Produk herba seperti misai kucing yang mempunyai khasiat merawat penyakit kencing manis boleh dieksploitasi dengan baik secara saintifik.

"Tidak kurang juga terdapat banyak flora di negara ini yang dikenal pasti berkhasiat untuk bidang perubatan, namun belum diterokai sepenuhnya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Perasmian Minggu Sains Negara Peringkat Negeri Sembilan 2020, di Dewan Biduanda Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Rembau, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Setiausahanya, Datuk Dr Siti Hamisah Tapsir; Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia, Dr Mohd Abd Wahab Yusof; Naib Canselor UiTM, Prof Emeritus Datuk Dr Mohd Azraai Kassim serta pemimpin setempat.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata, penubuhan UiTM adalah seiring dengan hasrat melahirkan anak bangsa mampu menerokai bidang STI.

"Bagi memastikan keperluan modal insan, masyarakat perlu dipergiatkan menerusi pelaksanaan program dan aktiviti berteraskan sains, teknologi dan inovasi," katanya.

Beliau berkata, Minggu Sains Negara kali ketiga itu diadakan selepas kali pertama diadakan pada 2018 apabila kerajaan meluluskan penganjurannya pada minggu pertama April setiap tahun.

Seramai 930,000 peserta menyertai program itu.

"Program yang sudah dirancang banyak dibuat menerusi dalam talian susulan wabak COVID-19," katanya.

Program tahunan antara Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bersama Agensi Nuklear Malaysia itu akan diteruskan sehingga sehingga 10 November depan dengan pendekatan sesuai mengikut norma baharu.

Berita Harian X