Rabu, 2 September 2020 | 3:08pm
Bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) kini dalam proses menyelesaikan tuntutan saman.
Bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) kini dalam proses menyelesaikan tuntutan saman.

Ku Nan cuba selesai tuntutan LHDN di luar mahkamah

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) kini dalam proses menyelesaikan tuntutan saman membabitkan pembayaran cukai pendapatan berjumlah RM57.17 juta.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Peguam Cara Hasil yang mewakili LHDN, Dr Hazlina Hussain, ketika kes didengar di hadapan Hakim Datuk Azimah Omar di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.

Hazlina berkata, kedua-dua pihak berusaha menyelesaikan kes itu, bagaimanapun, ia membabitkan isu yang kompleks dan terpaksa mengambil sedikit masa.

Terdahulu, kes itu hari ini ditetapkan untuk mendengar permohonan bagi mendapatkan penghakiman terus terhadap Tengku Adnan dan permohonannya untuk menggantung prosiding saman berkenaan.

Timbalan Peguam Cara Hasil yang mewakili LHDN, Dr Hazlina Hussain (dua dari kanan) bercakap kepada wartawan selepas pendengaran permohonan LHDN untuk mendapatkan penghakiman terus dalam tuntutan tunggakan cukai terhadap Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. - NSTP/Asyraf Hamzah
Timbalan Peguam Cara Hasil yang mewakili LHDN, Dr Hazlina Hussain (dua dari kanan) bercakap kepada wartawan selepas pendengaran permohonan LHDN untuk mendapatkan penghakiman terus dalam tuntutan tunggakan cukai terhadap Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. - NSTP/Asyraf Hamzah

Di awal prosiding, peguam Datuk Rosli Dahlan yang mewakili Tengku Adnan, memohon mahkamah penangguhan perbicaraan dengan alasan terdapat penyelesaian antara anak guamnya dengan LHDN.

Kedua-dua pihak mencapai persetujuan membabitkan jumlah, bagaimanapun, kaedah penyelesaian masih belum diputuskan.

Hazlina, bagaimanapun memberitahu mahkamah, kuantum berkenaan masih belum diputuskan oleh LHDN, terutama membabitkan jumlah penalti.

Sehubungan itu, mahkamah menetapkan 23 September ini untuk mengetahui keputusan kedua-dua pihak atau meneruskan dengan pendengaran permohonan.

"Ia adalah terakhir... Saya beri tempoh dua minggu, sekiranya tiada penyelesaian, mahkamah akan mendengar kes ini," katanya.

Kerajaan Malaysia melalui LHDN memfailkan saman itu pada 24 Julai tahun lalu, selepas mendakwa Tengku Adnan selaku defendan masih terhutang bagi cukai pendapatan untuk tahun taksiran 2012 sehingga tahun taksiran 2017 seperti yang dinyatakan melalui Notis Taksiran bertarikh 15 Mac 2019.

LHDN, dalam tuntutannya, mendakwa sehingga kini defendan masih gagal membayar amaun cukai pendapatan bersama kenaikan 10 peratus yang masih terhutang yang kesemuanya berjumlah RM57,167,069.35.

Jumlah itu ialah RM64,444.38 (2012); RM6,614,861.59 (2013); RM8,887,576.69 (2014); RM9,198,523.67 (2015); RM5,520,818.05 (2016); dan RM26,880,844.97 (2017).

Oleh itu, plaintif menuntut daripada defendan jumlah RM57,167,069.35, faedah atas jumlah RM57,167,069.35 pada kadar lima peratus setahun daripada tarikh penghakiman sehingga tarikh realisasi, kos dan lain-lain relif yang disifatkan sesuai oleh mahkamah.

Berita Harian X