Isnin, 24 Ogos 2020 | 9:46am
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar. - Foto BERNAMA
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar. - Foto BERNAMA

Pelbagai program tingkat penyertaan PKS dalam eDagang

PUTRAJAYA: Penyertaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) secara dalam talian menunjukkan peningkatan apabila sehingga 31 Januari lalu sebanyak 276,176 entiti mendaftar perniagaan mereka dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata walaupun terdapat peningkatan dalam jumlah penyertaan usahawan PKS dalam platform pendigitalan, jumlah peratusan itu sepatutnya masih boleh dipertingkatkan.

Katanya, peratusan itu dapat ditingkatkan terutamanya dalam kalangan usahawan PKS di kawasan luar bandar serta perniagaan mereka yang terjejas akibat COVID-19.

"Berdasarkan kaji selidik Digital PKS Malaysia 2018 yang dilaksanakan oleh SME Corp Malaysia dan Huawei Technologies Malaysia Sdn Bhd, majoriti PKS menggunakan komputer dan internet sebagai medium operasi perniagaan.

"Kaji selidik juga mendapati bahawa PKS masih menghadapi masalah untuk menambah baik operasi perniagaan daripada pengkomputeran ke pendigitilan.

"Ini disebabkan PKS menghadapi isu dari segi kos, teknologi, infrastruktur dan kemahiran penggunaan digital dalam operasi syarikat," katanya dalam kenyataan hari ini.

Wan Junaidi berkata, berikutan itu pihaknya menyediakan pelbagai kursus dan program berkaitan pendigitalan perniagaan kepada usahawan yang berminat untuk mengembangkan perniagaan atau menukar konsep perniagaan kepada platform eDagang.

"Antara agensi yang membantu menyediakan program dan kursus berkaitan secara dalam talian ialah Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), SME Corp serta Institut Koperasi Malaysia (IKM).

"Contohnya SME Corp, menyediakan program Warong Rider iaitu satu platform servis penghantaran makanan dan barangan yang dapat membantu golongan belia, peniaga dan penjaja kecil di seluruh Malaysia untuk memasarkan pelbagai produk di kawasan setempat. Seramai 3,000 rider dijangka dapat dilahirkan di bawah program ini.

"Selain itu, program 'Women Netprenuer' iaitu bengkel bagi membantu dan menggalakkan golongan wanita untuk menjalankan perniagaan dalam talian. Dari 2017 hingga tahun lalu seramai 1,592 wanita sudah mendapat manfaat daripada bengkel berkenaan.

"Bagi program Micro Connector, sehingga kini 201 syarikat mikro sudah mendapat manfaat melalui latihan penggunaan applikasi digital dalam operasi perniagaan," katanya.

Wan Junaidi berkata bagi mengadaptasi ekonomi digital secara menyeluruh, PKS mesti melakukan kejuruteraan semula (re-engineering) perniagaan dengan memastikan strategi, proses dan infrastruktur perniagaan mereka sejajar dan bersepadu untuk menyokong transformasi digital.

Beliau berkata, melangkah ke hadapan, sektor teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) mempunyai peranan yang besar untuk menggandakan pertumbuhan PKS bukan sahaja melalui peningkatan dalam kecekapan dan produktiviti, tetapi juga dalam memperluas jangkauan pasaran mereka.

Wan Junaidi berkata sektor ICT menyumbang sebanyak RM 267.7 billion atau 18.5 peratus kepada komponen keluaran dalam negeri kasar (KDNK) bagi tahun 2018.

Beliau berkata, bagi tempoh 2016 sehingga 31 Mei 2020, sebanyak 322,834 PKS menyertai platform eDagang, manakala sebanyak 171,776 PKS menghadiri latihan melalui pelbagai program daripada rakan strategik eDagang, persatuan dan agensi kerajaan.

Berita Harian X