Rabu, 19 Ogos 2020 | 5:59pm
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz

Sembilan juta rakyat nikmati manfaat ePenjana

PUTRAJAYA: Kira-kira sembilan juta rakyat Malaysia menerima ePenjana bernilai RM50 dalam e-dompet membabitkan peruntukan berjumlah RM451.5 juta setakat 14 Ogos lalu, kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

"Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan atau kemusykilan mengenai kredit ePenjana melalui e-dompet pilihan, orang ramai boleh menghubungi tiga penyedia perkhidmatan e-dompet iaitu Boost, GrabPay dan Touch 'n Go e-Wallet," katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan mengenai laporan terkini pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA), hari ini.

Ia laporan ke-17 Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA).

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika membentangkan PENJANA pada Jun lalu mengumumkan inisiatif ePenjana membabitkan peruntukan sebanyak RM750 juta bagi membantu merancakkan perbelanjaan pengguna di Malaysia.

Setiap pemohon yang layak boleh menebus RM50 kredit ePenjana daripada salah satu penyedia perkhidmatan e-dompet terpilih yang ditetapkan kerajaan.

Pemohon yang layak juga akan menerima padanan insentif tambahan bernilai RM50 dalam bentuk rebat tunai, baucar dan/atau mata ganjaran sepanjang tempoh kempen.

Tempoh memohon RM50 kredit ePenjana adalah dari 31 Julai hingga 24 September 2020, manakala tarikh akhir penggunaan ePenjana adalah pada 30 September 2020.

Mengenai kempen e-dagang kepada perusahaan kecil, sederhana dan mikro (MSME), Tengku Zafrul berkata, lebih 145,000 perniagaan dijangka mendapat manfaat daripada latihan e-dagang, subsidi penjual dan sokongan jualan.

Katanya, setakat 7 Ogos lalu, sebanyak 63,000 MSME telah menerima manfaat daripada inisiatif itu.

"MSME dan perniagaan tempatan yang mahu menyertai kempen berkenaan boleh mendaftar menerusi www.goecommerce.my/PENJANA," katanya.

Kempen e-dagang kepada MSME bertujuan menggalakkan penggunaan e-dagang oleh perniagaan tempatan bagi meluaskan lagi capaian pasaran.

Inisiatif yang diterajui oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) itu mempermudahkan peralihan PKS dan PKS mikro kepada platform e-dagang yang seterusnya akan memperluaskan akses pasaran.

Kempen itu membabitkan 20 rakan e-dagang termasuk Boost, Carousell, ConfirmPlusChop, DeliverEat, Elokal, eRomman, Fave, foodpanda, Grab, JOCOM, Kedai Matdespatch, Lazada, Lokein, MyGroser, OURSHOP, PG Mall, Maybank2u (Sama-Sama Lokal), Shopee, Touch 'n Go eWallet, dan Zalora.

Bagi kempen 'Shop Malaysia Online', beliau menjelaskan, setakat 7 Ogos 2020, seramai 1.09 juta pengguna telah menerima manfaat daripada kempen itu.

Berita Harian X