Selasa, 18 Ogos 2020 | 3:52pm
Universiti Malaya. - NSTP/Yazit Razali
Universiti Malaya. - NSTP/Yazit Razali

48,605 lepasan STPM layak masuk 20 universiti awam

PUTRAJAYA: Seramai 48,605 pelajar lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan setaraf ditawarkan tempat untuk melanjutkan pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda bagi Sesi Akademik 2020/2021 di 20 universiti awam.

Daripada keseluruhan yang ditawarkan tempat berkenaan, 40,559 (69 peratus) adalah perempuan manakala bakinya 18,109 (31 peratus) adalah lelaki.

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya menerima 58,668 permohonan daripada calon lepasan STPM.

Penerimaan kemasukan pelajar ke universiti awam adalah berdasarkan prinsip meritokrasi yang mana semua calon yang layak dengan markah merit tertinggi tanpa mengira kaum, agama, negeri, taraf hidup dan tempat tinggal diberi peluang untuk mengikuti pengajian di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

Tiada sistem kuota diguna pakai dan sistem ini telah digugurkan sejak sesi pengambilan 2002/2003.

KPT dalam kenyataan itu menjelaskan surat tawaran rasmi akan dikeluarkan oleh UA berkaitan kepada calon yang berjaya bermula esok dan calon yang menerima tawaran perlu membuat pengesahan setuju terima tawaran dalam tempoh lima hari bekerja iaitu selewat-lewatnya 26 Ogos ini.

Pengesahan setuju terima tawaran dan surat tawaran boleh dicetak melalui Laman Web UA seperti di Lampiran 1.

Calon yang tidak menerima sebarang tawaran/gagal boleh mengemukakan permohonan rayuan melalui UPUOnline di http://upu.mohe.gov.my.

"Permohonan rayuan menerusi UPUOnline Rayuan yang akan dibuka dalam tempoh 10 hari mulai 18 Ogos 2020 jam 12 tengah hari sehingga 28 Ogos 2020 jam 5 petang," kata kenyataan itu.

Tawaran tempat bagi sesi akademik 2020/2021 adalah muktamad dan sebarang permohonan pertukaran tidak dibenarkan.

Dasar pemilihan rayuan pelajar adalah tertakluk kekosongan tempat yang ditawarkan mengikut program pengajian selepas pendaftaran pelajar baharu selesai dilaksanakan.

Berita Harian X