Selasa, 18 Ogos 2020 | 2:31pm
Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin. ARKIB NSTP
Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin. ARKIB NSTP

Hukuman berat mereka yang hina bendera, Jata Negara

SEREMBAN: Hukuman lebih berat perlu diambil terhadap pelaku yang sengaja memasang Jalur Gemilang secara terbalik dan perbuatan menghina Jata Negara.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin, berkata mengambil contoh negara jiran Thailand yang mengenakan hukuman berat terhadap mereka yang menghina negara termasuk raja, beliau berkata tindakan tegas seperti itu akan memberikan pengajaran kepada semua pihak.

"Kita harap mereka ini (yang memasang Jalur Gemilang terbalik dan menghina Jata Negara) perlu ditangkap dan diambil tindakan lebih berat …tindakan tegas perlu diambil," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Merdeka@Komuniti dan Ziarah Kasih Merdeka di sini, hari ini.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Sembilan, Shahnon Mohamad.

Zahidi berkata, hukuman berat itu akan mampu memberi pengajaran kepada masyarakat untuk tidak mewujudkan keadaan tidak harmoni seperti menghina Jalur Gemilang dan Jata Negara apabila mereka berasa tidak puas akan sesuatu.

Beliau turut menegaskan kementerian akan terus melipatgandakan usaha untuk memberi pemahaman kepada masyarakat mengenai perlunya mereka menyayangi dan menghormati lambang negara.

"Kementerian akan teruskan kempen kibar Jalur Gemilang …supaya rakyat betul-betul memahami dan menyayangi serta menghormati negara, Jata Negara, bendera (Jalur Gemilang) dan warga kita," katanya.

Mengenai program berkenaan, beliau berkata meskipun negara kini dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bagi membendung penularan COVID-19, namun ia bukanlah alasan Bulan Kebangsaan tidak dapat disambut dengan meriah.

"Sambutan kali ini mengikut normal baharu dan kita tidak mahu sambutan Merdeka kali ini kurang meriah dan tidak bersemangat. Jadi kita cuba yang terbaik bagi memastikan rakyat memahami dan mengamalkan prinsip Rukun Negara serta terus semarakkan semangat patriotik," katanya.

Program Merdeka@Komuniti merupakan program Jabatan Penerangan yang bertujuan untuk menyemarakkan lagi semangat patriotisme dan cintakan negara.

Selain aktiviti pemasangan bendera, turut diadakan ialah Info On Wheels (IOW) Merdeka serta pertandingan lagu patriotik serta ziarah kasih merdeka, bagi mendekati masyarakat. – BERNAMA

Berita Harian X