Isnin, 17 Ogos 2020 | 1:07pm
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat pada Istiadat Menghadap dan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2020, sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Baginda, di Istana Melawati hari ini. - Foto BERNAMA

Istiadat pengurniaan pingat berlangsung dalam norma baharu

PUTRAJAYA: Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2020 bersempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong, di Istana Melawati di sini hari ini berlangsung dalam suasana norma baharu dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ketat.

Ia bersesuaian dengan situasi negara yang masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sehingga 31 Ogos ini susulan pandemik COVID-19.

Tetamu yang hadir memakai pelitup muka dan disaring suhu badan di balai keselamatan Istana Melawati dari dalam kenderaan lagi.

Suhu tetamu kemudian disaring sekali lagi sebelum memasuki ruang menghala ke Balairong Seri.

Petugas di Istana Melawati turut memakai pelitup muka.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan Tahun 2020. - Foto BERNAMA
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan Tahun 2020. - Foto BERNAMA

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat ke istiadat berkenaan. Turut berangkat ialah Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Keberangkatan tiba Seri Paduka berdua disambut Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman di anjung Istana Melawati.

Seri Paduka dan Raja Permaisuri Agong kemudiannya berangkat ke Dataran Utama Istana Melawati, lokasi Kawalan Kehormatan Utama daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja menyembahkan hormat diraja.

Kawalan Kehormatan Utama terdiri daripada 32 anggota lain-lain pangkat dan empat pegawai yang diketuai Mejar Ahmad Shafiq Ikmar Mohd Zulkipli.

Ia diikuti dengan lagu kebangsaan yang dimainkan serentak dengan tembakan meriam sebanyak 21 das.

Seri Paduka berdua kemudian berangkat ke Balairong Seri dan lagu Negaraku dimainkan sekali lagi.

Kerusi di Balairong Seri disusun berdasarkan penjarakan fizikal seperti yang ditetapkan Kementerian Kesihatan.

Hari ini adalah hari pertama istiadat pengurniaan membabitkan 31 individu menerima pingat kebesaran.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan Tahun 2020. - Foto BERNAMA
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan Tahun 2020. - Foto BERNAMA

Dua menerima Seri Setia Mahkota (SSM) yang membawa gelaran Tun; empat menerima Panglima Mangku Negara (PMN) manakala 12 lagi Panglima Setia Mahkota (PSM) yang kedua-duanya membawa gelaran Tan Sri; sembilan menerima Panglima Jasa Negara (PJN) dan empat lagi menerima Panglima Setia Diraja (PSD) yang kedua-duanya membawa gelaran Datuk.

Lazimnya, bagi penerima darjah kebesaran Seri Setia Mahkota yang membawa gelaran Tun, Panglima Mangku Negara dan Panglima Setia Mahkota yang membawa gelaran Tan Sri serta Panglima Jasa Negara dan Panglima Setia Diraja yang membawa gelaran Datuk, Yang di-Pertuan Agong akan menyarungkan selempang yang disemat dengan pingat kurniaan.

Bagaimanapun, bagi mematuhi SOP dan menjaga penjarakan fizikal, pada istiadat kali ini Seri Paduka hanya menyemat pingat kurniaan pada pakaian penerima.

Selepas selesai istiadat pengurniaan darjah-darjah kebesaran, lagu Negaraku dimainkan dan diikuti tiupan nafiri menandakan keberangkatan Seri Paduka berdua meninggalkan Balairong Seri. - BERNAMA

Berita Harian X