Jumaat, 14 Ogos 2020 | 5:52pm
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin (dua, kiri) memakaikan pangkat kepada Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani (dua, kanan) pada Majlis Penyerahan Surat Pelantikan Timbalan Ketua Polis Negara di Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini. - Foto BERNAMA
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin (dua, kiri) memakaikan pangkat kepada Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani (dua, kanan) pada Majlis Penyerahan Surat Pelantikan Timbalan Ketua Polis Negara di Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini. - Foto BERNAMA

Acryl Sani dilantik Timbalan Ketua Polis Negara

PUTRAJAYA: Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara, berkuat kuasa hari ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, berkata pelantikan itu telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, dengan nasihat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, surat terbabit diterima, semalam, dan majlis pemakaian pangkat Acryl Sani sebagai Timbalan Ketua Polis Negara diadakan, hari ini.

"Diucapkan tahniah dan syabas kepada beliau kerana dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Ketua Polis Negara selepas diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong," katanya kepada pemberita selepas majlis pemakaian pangkat itu di Kementerian Dalam Negeri, di sini, hari ini.

Yang turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Acryl Sani, 59, menggantikan Datuk Mazlan Mansor yang bersara wajib, hari ini.

Anak kelahiran Petaling Jaya itu memiliki kelulusan Ijazah Sarjana Sains (Pengurusan) daripada Universiti Utara Malaysia (UUM) dan menyertai Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 2 Februari 1986 sebagai Kadet Asisten Superintendan Polis (ASP).

Beliau antara lain berpengalaman menyandang jawatan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Pesuruhjaya Polis Sarawak, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial serta Pengarah Jabatan Sumber Strategik dan Teknologi.

Berita Harian X