Jumaat, 14 Ogos 2020 | 5:28pm

COVID-19: Kluster Muda dikesan di Kedah

PUTRAJAYA: Satu lagi kluster baharu dinamakan Kluster Muda dikesan di Kedah yang telah menjangkiti dua individu, setakat ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kes pertama (kes 9,114) kluster itu adalah warga tempatan yang juga seorang anggota polis.

"Kes dilaporkan pada hari ini (kes ke-9,147) adalah rakan kerja kepada kes indeks.

"Susulan itu, aktiviti pengesanan kes secara aktif dan saringan kontak rapat sudah dijalankan, semalam.

"Hingga hari ini, dua kes dikesan positif, manakala lima lagi individu negatif dan 117 lagi masih menunggu keputusan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Susulan itu, beliau berkata, pengesanan kes secara aktif sedang diteruskan dan langkah pencegahan serta pembendungan jangkitan seperti proses pembersihan serta nyahkuman sudah dijalankan di lokasi yang dikenal pasti.

"Punca jangkitan masih dalam siasatan," katanya.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan memaklumkan bahawa Kluster Jupiter di Bintulu, Sarawak, diisytiharkan tamat selepas 28 hari tiada mencatatkan sebarang kes.

Hingga kini, hanya tiga kes positif dikesan dalam kluster itu dan tiada kematian dilaporkan.

Jumlah kluster telah diisytiharkan tamat adalah 75 kluster, setakat ini.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X