Khamis, 13 Ogos 2020 | 3:11pm

Struktur semula skim pembiayaan tanam semula sawit

KUALA LUMPUR: Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi menimbang untuk menstruktur semula Skim Pembiayaan Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS) dan Skim Pembiayaan Mudah Input Pertanian Pekebun Kecil Sawit (IPPKS) khusus untuk kumpulan sasar yang memerlukan bantuan.

Timbalan Menterinya, Willie Anak Mongin, berkata langkah itu dilakukan selepas menyedari keperluan dan kehendak pekebun kecil yang kebanyakannya terdiri daripada golongan B40.

"Kita sudah mengangkat permohonan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) dan kita harap permohonan ini diluluskan pihak Unit Perancang Ekonomi (EPU).

"Ini demi kesejahteraan dan memperkasa industri serta membantu golongan pekebun kecil mendapat geran penanaman semula sawit.

"Bagaimanapun, ia tertakluk kepada kemampuan kewangan kerajaan," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Willie menjelaskan, Skim Tanaman Semula Pekebun Kecil (TSSPK) yang disediakan semasa RMKe-10 sudah ditukar daripada geran kepada pinjaman bermula RMKe-11.

"Penukaran ini sejajar dengan dasar semasa kerajaan untuk program tanaman semula sawit yang diusahakan agensi lain seperti Lembaga Pemulihan dan Penyatuan Tanah Persekutuan (FELCRA), Lembaga Kemajuan Tanah Sarawak (LKTS), Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (SLDB), Lembaga Pemulihan dan Penyatuan Tanah Sarawak (SALCRA) dan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA)," katanya.

Beliau menjawab soalan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (BN-Machang) yang bertanya sama ada kementerian berhasrat untuk memberi semula bantuan geran tanam semula kelapa sawit kepada pekebun kecil sawit yang diubah menjadi pinjaman pada 2019.

Menjawab soalan tambahan Ahmad Jazlan mengenai jumlah pekebun kecil dan nilai yang dibelanjakan kerajaan di bawah geran TSSPK, Willie berkata, sebanyak RM312 juta dibelanjakan bagi penanaman semula sawit di atas tanah seluas 51,625 hektar membabitkan 20,076 pekebun kecil seluruh negara.

Mengenai soalan Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin (PH-Hang Tuah Jaya) berhubung langkah yang akan diambil kementerian bagi memastikan tiada golongan pekebun kecil yang layak terlepas pandang daripada menerima bantuan, Willie berkata, pihaknya akan menyenarai putih senarai pekebun kecil sedia ada supaya bantuan sampai kepada golongan sasar.

Berita Harian X