Khamis, 13 Ogos 2020 | 1:00pm
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador (tengah) menyaksikan penyerahan dokumen serah terima tugas Pemangku Timbalan Ketua Polis Negara daripada Datuk Mazlan Mansor (kiri) kepada Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani pada Majlis Serah Terima Tugas Pemangku Timbalan Ketua Polis Negara di Maktab PDRM. - Foto NSTP/Aswadi Alias
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador (tengah) menyaksikan penyerahan dokumen serah terima tugas Pemangku Timbalan Ketua Polis Negara daripada Datuk Mazlan Mansor (kiri) kepada Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani pada Majlis Serah Terima Tugas Pemangku Timbalan Ketua Polis Negara di Maktab PDRM. - Foto NSTP/Aswadi Alias

Usaha jejaki suami Indira Gandhi giat dilakukan - PDRM

KUALA LUMPUR: Polis sedang meneliti langkah sewajarnya dalam usaha mempercepatkan proses menyatukan kembali M Indira Gandhi dengan anak perempuannya, Prasana Diksa.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, berkata beliau memandang serius dan mengambil berat keadaan dan perasaan Indira.

"Saya ambil peduli dengan keadaannya dan tindakan yang diperlukan sedang dilakukan untuk mempertemukan Indira dengan anak perempuannya.

"Anak buah saya harus bertindak secara senyap supaya tidak membahayakan dan mendedahkan operasi mengesan bekas suami dan anak perempuannya," katanya pada sidang media di Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Timbalan Ketua Polis Negara, di sini, hari ini.

Bekas Pengarah Keselamatan Dalam Negeri/Ketenteraman Awam, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, mengambil alih tugas Datuk Mazlan Mansor sebagai pemangku Timbalan Ketua Polis Negara.

Abdul Hamid berkata walaupun bekas suami Indira, Muhammad Riduan Abdullah dipercayai berada di luar negara, pihaknya dibantu pihak tertentu untuk mengesan individu berkenaan.

"Kami telah mendapatkan bantuan daripada ahli politik kanan tertentu untuk meyakinkan bekas suaminya supaya menyerah diri... ini berterusan dan kami melakukan semua yang kami mampu," katanya.

Beliau berkata, dia juga akan menghantar seorang pegawai kanan polis wanita untuk bertemu dengan Indira tidak lama lagi.

"Ini untuk meyakinkannya bahawa polis sedang giat bekerja keras mengesan lokasi suaminya. Masalahnya tidak pernah keluar dari radar saya," katanya.

Sebelum ini usaha mengesan bekas suami Indira terganggu kerana pihak tertentu membuat kenyataan umum mengenai perkara itu, sehingga sedikit sebanyak menjejaskan usaha polis.

"Kami terus maju tetapi usaha kami terhambat dan kami tidak mahu situasi dipolitikkan," katanya.

Ketika ini belum ada sebarang petunjuk mengenai lokasi Muhammad Riduan yang hilang bersama anak perempuan mereka pada 2011.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) sebelum ini dalam kenyataan bertulis di Parlimen memaklumkan bahawa Muhammad Riduan dipercayai berada di negara jiran untuk mengelakkan dirinya dikesan pihak berkuasa.

Polis telah melakukan beberapa usaha untuk mengesan keberadaannya segera selepas Mahkamah Tinggi Ipoh memberikan hak penjagaan tiga orang anaknya kepada Indira pada 11 Mac 2011.

Berita Harian X