Khamis, 13 Ogos 2020 | 10:00am
Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Abdul Rasheed Ghaffour. - NSTP/Fathil Asri
Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Abdul Rasheed Ghaffour. - NSTP/Fathil Asri

'Jangan tangguh jumpa bank'

KUALA LUMPUR: Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Abdul Rasheed Ghaffour meminta orang ramai tidak 'takut' dan bertangguh berjumpa bank bagi membincangkan masalah kewangan dihadapi supaya bantuan kewangan bersasar dapat diberikan segera bagi meringankan beban aliran tunai peminjam berikutan impak pandemik COVID-19.

Beliau berkata, peminjam yang hilang pekerjaan atau sumber pendapatan ketara, termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) perlu segera berbincang dengan bank bagi memohon lanjutan bantuan kewangan dan fleksibiliti pembayaran balik pinjaman sebaik tempoh moratorium automatik berakhir hujung bulan depan.

Katanya, tindakan segera itu akan mempercepat dan melancarkan proses kelulusan permohonan lanjutan moratorium bersasar serta pelan bayaran balik pinjaman bersesuaian dengan kemampuan dan keperluan peminjam yang terjejas.

"Prosedur permohonan juga mudah iaitu hanya perlu menunjukkan bukti dokumentasi mereka hilang pekerjaan dan terdapat pengurangan gaji atau pendapatan.

"Jadi, jangan 'takut' jumpa bank, lagi awal lagi bagus. Institusi perbankan secara kolektif bersetuju memudahkan proses permohonan dan keperluan dokumentasi, malah fleksibiliti diberikan ketika tempoh ini supaya mereka tidak tersenarai dalam rekod Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS)," katanya kepada BH dalam temubual ekslusif di sini, semalam.

Abdul Rasheed juga menasihatkan peminjam yang terkesan perlu berurusan sendiri dengan bank dan tidak menggunakan pihak ketiga, ejen atau orang tengah.

Ini katanya, bagi mengelakkan kos yuran tambahan dikenakan atau mereka terdedah menjadi mangsa penipuan pihak tertentu yang menyamar sebagai ejen.

"Bank Negara akan memantau kemajuan pelaksanaan inisiatif yang dijalankan institusi perbankan ini supaya peminjam yang masih berdepan kesulitan kewangan dapat dibantu.

"Kami juga akan terus menumpukan usaha memastikan sistem perbankan menjalankan fungsi perantaraannya dengan berkesan dalam menyokong pemulihan ekonomi negara," katanya.

Beliau berkata, sejak tujuh bulan lalu, lebih 24,000 peminjam dibantu di bawah pelan bayaran balik pinjaman institusi kewangan berbanding hanya 14,000 peminjam dibantu pada 2019.

Katanya, berikutan langkah proaktif bank menghubungi pelanggan masing-masing, jumlah bantuan akan meningkat dari semasa ke semasa dengan dipantau rapi BNM.

"Sekiranya masih tiada jalan penyelesaian dengan bank atau peminjam yang mempunyai pinjaman lebih daripada satu bank, mereka tidak perlu bimbang kerana khidmat pusat sehenti seperti Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) akan membantu," katanya.

Bagi peminjam individu, mereka boleh merujuk kepada AKPK, manakala PKS atau pinjaman perniagaan boleh memohon menerusi Skim Penyelesaian Pinjaman Kecil (SDRS).

Mereka boleh mengajukan pertanyaan kepada BNM melalui eLINK di https://telelink.bnm. gov.my atau menghubungi BNMTELELINK di talian 1-300-88-5465 dari Isnin hingga Jumaat dari jam 9 pagi hingga 5 petang.

BNM juga sedang bekerjasama dengan persatuan PKS untuk memantau dan menangani masalah dihadapi PKS dalam mendapatkan bantuan pembayaran balik pinjaman atau pembiayaan daripada institusi perbankan.

Pada 29 Julai lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan lanjutan moratorium tiga bulan diberikan kepada individu yang kehilangan pekerjaan dan pendapatan berikutan impak pandemik COVID-19, manakala selebihnya kerajaan akan melaksanakan pendekatan bersasar.

Bagi individu kehilangan pekerjaan pada 2020 dan belum mendapat pekerjaan baharu, mereka akan menikmati moratorium lanjutan bersasar untuk tempoh tiga bulan dan selepas tiga bulan, tempoh moratorium boleh dilanjutkan bank bergantung kepada situasi individu.

Individu yang masih bekerja, tetapi gaji mereka terjejas akibat COVID-19 akan ditawarkan pengurangan ansuran pinjaman yang sepadan dengan pengurangan gaji mereka, bergantung pada jenis pembiayaan.

Bagi individu lain dan PKS yang turut terkesan akibat COVID-19 akan ditawarkan bantuan seperti membayar faedah untuk suatu jangka masa ditetapkan, memanjangkan tempoh keseluruhan pinjaman bagi mengurangkan pembayaran balik bulanan atau memberi pelepasan lain sehingga peminjam mencapai kedudukan kewangan lebih stabil.

Peminjam boleh memohon secara terus dengan bank masing-masing bagi mendapatkan pakej bantuan pembayaran balik yang bersesuaian mulai 7 Ogos lalu.

Sistem perbankan kukuh sokong pemulihan ekonomi

Orang ramai diminta tak tangguh bincang masalah kewangan supaya bantuan bersasar disalur segera. - Foto fail NSTP
Orang ramai diminta tak tangguh bincang masalah kewangan supaya bantuan bersasar disalur segera. - Foto fail NSTP

Pelaksanaan moratorium dan bantuan kewangan bersasar yang sepadan dengan kemampuan bayaran balik pinjaman akan membantu mengukuhkan sistem perbankan dengan mengurangkan pinjaman tidak berbayar (NPL) dalam jangka panjang.

Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Abdul Rasheed Ghaffour, berkata, kekukuhan sistem perbankan negara amat penting untuk menyokong pemulihan ekonomi dengan terus menyediakan akses pembiayaan kepada perniagaan dan isi rumah, selain sentiasa bersedia berdepan kemungkinan serta ketidaktentuan pada masa akan datang.

Katanya, dengan pembukaan kembali ekonomi dan penyambungan semula aktiviti perniagaan, usaha BNM kini tertumpu kepada tiga perkara utama iaitu memastikan bank terus membantu peminjam terjejas menerusi pemberian bantuan lebih bersasar.

Beliau berkata, institusi perbankan juga perlu dipastikan terus berupaya menjalankan fungsi pengantaraan yang baik dalam pemulihan ekonomi dan simpanan pendeposit terjamin serta pelabur terus yakin terhadap sistem perbankan dan ekonomi negara.

"Kami yakin kaedah pendekatan bersasar, peminjam yang terjejas dan berdaya maju masih dapat dibantu dengan pakej bantuan bersesuaian dengan aliran tunai serta profil masing-masing supaya dapat kekal berdaya saing pada masa hadapan.

"Perlanjutan tempoh moratorium yang terlalu lama kepada mereka yang tidak memerlukan juga dikhuatiri akan membuahkan budaya 'liat' membayar hutang yang hanya memberi kesan negatif kepada peminjam pada masa depan akibat hutang tidak berbayar.

"Pembayaran balik pinjaman juga akan mengurangkan risiko hutang lapuk dan tekanan pada kedudukan kewangan institusi perbankan supaya terus stabil untuk menyokong proses pertumbuhan ekonomi," katanya kepada BH, semalam.

Abdul Rasheed berkata, industri perbankan berada pada kedudukan kewangan yang kukuh sebelum krisis pandemik COVID-19 dengan penampan yang mencukupi, sekali gus membolehkan institusi perbankan membantu peminjam melalui pemberian moratorium secara automatik.

Sepanjang tempoh moratorium, beliau berkata, bank tidak menerima pembayaran balik walaupun mereka perlu terus memenuhi tanggungjawab bagi menanggung kos deposit dan sumber pendanaan lain, dan pada masa sama menyediakan pinjaman kepada ekonomi.

"Jadi, semestinya institusi perbankan akan menerima kesan jika moratorium secara automatik terus dilanjutkan. Dalam tempoh ini juga, bank tidak dapat melihat tingkah laku pembayaran balik pinjaman dan ini mungkin kurang memberi galakan kepada bank memberi pinjaman baharu kepada individu serta perniagaan," katanya.

Selain itu, Abdul Rasheed mengingatkan institusi perbankan menjaga dan melindungi kepentingan pendeposit dengan memastikan mereka mengurus pinjaman serta pelaburan menggunakan deposit itu dengan cara bertanggungjawab.

Beliau berkata, pendeposit perlu diberikan jaminan berhubung kekukuhan kewangan bank untuk terus menyimpan wang dan gaji mereka di dalam bank.

"Pendeposit memberikan amanah kepada bank menggunakan simpanan untuk membiayai pinjaman kepada orang lain yang boleh membayar balik pinjaman mereka.

"Jadi, pihak bank perlu terus mengamalkan pengurusan risiko yang baik dalam pemberian pinjaman atau kredit kepada peminjam," katanya.

Sejak pembukaan ekonomi secara berperingkat mulai Mei lalu, aktiviti ekonomi di seluruh negara dilihat semakin rancak, malah ada individu dan perniagaan mampu membayar semula pinjaman mereka.

Jumlah peminjam individu yang mula membuat bayaran ansuran pinjaman meningkat daripada 331,000 orang pada April 2020 kepada 601,000 peminjam pada Julai 2020.

Sementara itu, untuk tempoh sama, jumlah peminjam perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang mula membuat bayaran ansuran bulanan meningkat hampir empat kali ganda daripada 5,000 kepada 18,000 peminjam.

Berita Harian X