Rabu, 12 Ogos 2020 | 3:45pm
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Azhar Azizan ketika sidang media selepas persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Azhar Azizan ketika sidang media selepas persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

'Saya hanya menjaga masa'

KUALA LUMPUR: "Saya hanya menjaga masa. Itu sahaja penjelasannya." Demikian kata Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun, ketika menolak dakwaan sesetengah pihak bahawa beliau menyebelahi Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) pada sesi persidangan Dewan Rakyat.

Katanya, beliau hanya menjalankan tugas mengikut kuasa diberi demi memastikan Dewan Rakyat dapat berfungsi serta berlangsung dengan baik dan tersusun.

Azhar mengulas pertanyaan media mengenai tindakan beliau yang dilihat memihak kepada Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, ketika sesi penggulungan perbahasan usul menjunjung kasih titah diraja bagi Kementerian Kewangan (MOF) di Dewan Rakyat, minggu lalu.

Dakwaan itu juga tular dalam media sosial yang mendakwa Speaker tidak wajar bertindak seperti itu.

Bagaimanapun, dewan agak kecoh ketika Tengku Zafrul menggulung perbahasan dengan celahan daripada wakil kerajaan dan pembangkang.

"Saya tidak bercakap bagi pihak Menteri Kewangan. Saya tidak mahu ia dipolemik dan menjadikan apa yang saya lakukan sebagai polemik. Saya tidak boleh buat itu dan saya tidak akan buat.

"Saya menerima semua kritikan. Apa yang boleh saya lakukan? ini adalah tugas saya," katanya.

Terdahulu, Azhar menyampaikan sumbangan makan tengah hari kepada petugas media yang membuat liputan sesi Dewan Rakyat sambil mengucapkan terima kasih atas sokongan kepada institusi Parlimen.

Sementara itu, dalam kenyataan media yang diedarkan selepas itu, Azhar berkata pihaknya sedang meneliti reformasi institusi Parlimen dan akan meneruskan inisiatif yang sesuai dengan perancangan yang lebih rapi dan akan menambah baik segala yang didapati perlu.

"Saya ingin melihat kematangan dalam sesi dewan secara berterusan dan saya berterima kasih kepada semua pihak terutama semua ahli Yang Berhormat yang membantu saya melancarkan sidang dewan ini," katanya.

Berita Harian X